Rencana lima siri siri ini cuba merungkai isu perpaduan yang masih
menjadi polemik setelah hampir lebih lima dekad merdeka. Mengapa "Rumah
Sudah Siap Pahatnya Masih Berbunyi?"
Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu
perpaduan nasional ini di tengah-tengah bersemaraknya sambutan Hari
Kemerdekaan ke-54 tahun ini.
Bahagian pertama ialah hasil wawancara dengan Datuk Omar Hashim,
Pengerusi Jawaatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Seberkas kayu lidi yang diikat tidak
mudah dipatahkan tetapi lidi yang dilerai dari ikatan, sebatang demi
sebatang senang dipatah.
Ini kisah yang sering diajar untuk menunjukkan jika kita tidak
bersatu-padu, kita akan menjadi lemah seperti sebatang lidi tetapi jika
kita bersepakat, kekuatan kita bak seberkas kayu lidi, teguh dan padu.
Betapa cantiknya orang tua dahulu menggambarkan kepentingan
permuafakatan, persepakatan dan istilah yang sering dilaung-laungkan
hari ini iaitu perpaduan.
Kita juga ada peribahasa yang dalam maknanya untuk menggambarkan betapa
pentingnya perpaduan seperti "Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh",
"Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing" dan "Bulat Air Kerana
Pembetung Bulat Kata Kerana Muafakat."
Sudah tentunya juga kita mengharapkan masyarakat majmuk atau berbilang
kaum di Malaysia hidup "Bagai Aur Dengan Tebing", perumpamaan yang
menggambarkan keadaan kehidupan yang harmoni, tolong menolong antara
satu sama lain.
Kita tentunya tidak mahu melihat masyarakat berbilang kaum Malaysia
dengan tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India dan berpuluh-puluh etnik
yang lain di Sabah dan Sarawak bersikap "Seperti Enau Dalam Belukar
Melepaskan Pucuk Masing-masing!"
build by fatihah hanisah
No comments:
Post a Comment