Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu
bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi,
persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara
lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan.
Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot,
lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau
tidak sesuai lagi.
Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu
terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai
dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari
cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan
buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau
kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks
hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja
menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu
bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi
berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati
ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami
psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam
zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang
penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa
yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang
berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk
mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya
sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan
kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.
Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak
remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin
terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika
terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan
mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa
perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada
boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak
mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa,
maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu
dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.
Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus
mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli
psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang
pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan,
manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau
hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan
paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah
responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan
pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya.
Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini
dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya
keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif,
permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah
responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih
dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak
diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin
amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan
besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki
peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada
arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai
keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif
dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan
dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan
rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa
memberikan panduan dan bimbingan.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar
akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam
suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi
bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai
responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah. Mereka banyak
bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak
remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan,
disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh.
Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.
Namun begitu, gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah,
sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa
perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga
persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak
diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin
sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam
setiap keluarga, program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai
potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang
dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.
Buid By:Siti Salwa Bt Shamsudin
No comments:
Post a Comment