Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin
anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama
kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya,
ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah
yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas
– heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu
melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada
pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah
harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor
satu negara.Apakah
sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan
merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem
saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan
tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan
kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika yang melancong
ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut,
penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda- pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah, kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi, pengedaran
dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan
undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan
Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman
mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian, tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama.
Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus
sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan
dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri
bahkan generasi muda untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.
Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-29 tahun. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan
penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap
golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan
usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara
ini.
Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada
sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru
manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas
menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan
kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih
ini mengulangi kegiatan mereka.
Kajian
oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah
lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat
ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan
rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya
ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin
dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam
memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk
mendapatkan dadah.
Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional, mereka
tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara
kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan
jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot
badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah
apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa
keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang
dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit
AIDS yang amat digeruni.
Kesimpulannya,
kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah.
Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah
kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat
daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.
build by fatihah hanisah
No comments:
Post a Comment