Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas,
teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada
banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini
tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang
melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk
menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap
sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang
terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk
mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini
menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang
dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam
hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus
diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini
berduyun-duyun menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem
pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem
pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual
perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan
menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan
bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana
penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja
menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi
juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan
pengangkutan awam mereka.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan
menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara
monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini
menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk
membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan
ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket
yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum
kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir
pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan
ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu
pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan
kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin
mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang
bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua
pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan
mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit
untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu
perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan
drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan
bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.
build by nur fatihah hanisah
No comments:
Post a Comment