Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian
berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran
asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000,
seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik)
berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion,
termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun
2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang
diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara
ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan
Hong Kong.
* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat
berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong
antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.
· Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu
pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya
berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara
maju dalam abad ini.
· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara
hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan
industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti
pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang,
kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong,
semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong
yang melawat Malaysia.
· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada
kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan
perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan
ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’
(pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia.
Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di
Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu
rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.
· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan.
Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran
pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran
sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya
tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.
· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara
terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan
sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.
· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan
semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka
perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan
tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan
hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan
peranan mereka dengan sebaik-baiknya.
· Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri
pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia
Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan
di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum
Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan.
Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan
Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.
· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program
untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung
kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha
sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan
didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan
perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan,
pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat
membeli-belah.
· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini
seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan
infrastruktur.
· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan
sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat
Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama
untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki
sikap menyumbang kepada industri ini.
· Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di
tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan
negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja
seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini
juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.
· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh
meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi
pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri
itu.
· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih
kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan
memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering
kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru
bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.
· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan
pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan
kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk
memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai
nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang
sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.
Build by:Siti Salwa bt Shamsudin
No comments:
Post a Comment