1 MALAYSIA TERAS PERPADUAN NEGARA
Dalam kerancakan penduduk
jagatraya berjalan bersama-sama bayang-bayang keharmonian, riang berlagu
gembira, pemimpin diumpamakan sebagai jantung sesebuah negara. Pemimpin
perlu bijak mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan kestabilan
keharmonian dan keamanan negara.. Umum mengetahui, keunikan Malaysia
adalah bersandarkan kesejahteraan hidup kesatuan tiga kelompok berbeza
bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan keamanan sejagat.
Perpaduan menjadi elemen penting dan merupakan cerucuk dominan dalam
mengekalkan keamanan. Oleh hal yang demikian, idea yang dilontar dan
dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke lima, Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Najib dalam mengetengahkan gagasan 1 Malaysia merupakan satu
tindakan yang wajar dicontohi oleh tampuk kepimpinan yang lain. 1
Malaysia mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian
berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri
‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’. 1 Malaysia dikatakan
membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan
rakyat Malaysia menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Sekadar memetik
kata-kata Datuk Seri Najib, beliau berbicara “saya berharap semua rakyat
Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk
membina satu Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik”. Sejajar dengan ini,
perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu
diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju,
selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas
pegangan dalam menjaga keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud
bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan
dipinggirkan. Umum mengetahui, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1
Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di
negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan
diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia
menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan
identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya
sebagai satu aset yang patut dibanggakan. Disini jelas menunjukkan
bahawa negara mengekalkan keadilan setiap kaum tanpa mengubah pegangan
dan cara hidup mereka. Rakyat diberi kebebasan dalam menentukan pegangan
hidup masing-masing tanpa sebarang halangan. Memetik kata-kata daripada
seorang peguam di Indonesia, beliau berkata “keadilan yang hakiki hanya
ada disyurga, tetapi kita di dunia cuba hampiri ke tahap itu”. Justeru,
kelebihan yang diperoleh apabila menjadi warga Malaysia seharusnya
diiringi dengan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hidup dalam
suasana harmoni tanpa sebarang diskriminasi.
Seterusnya, 1
Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk sikap saling menghormati dalam
kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai
penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Tidak
kira sama ada Melayu, Cina, mahupun India, sikap ini perlu disemat kukuh
dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara.
Kita tidak mahu negara gah dengan kemodenan berkelas pertama tetapi
masyarakat masih mengamalkan gaya hidup berkelas ketiga lantaran
ketempangan sikap saling menghormati. Masyarakat Melayu misalnya, perlu
menghormati pegangan dan kepercayaan bangsa lain dan begitu juga
sebaliknya kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang
tersendiri . Kita tidak boleh bersikap serperti enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing dengan mengamalkan sikap mementingkan
diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Di sinilah
pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila
hidup di bawah satu bumbung bersama tiga kelompok berbeza adalah suatu
perkara yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng kerana
setiap perlakuan dan tutur kata perlu dijaga rapi. Jangan kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan
masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati
sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan.
Pemimpin
perlu bijak dalam memainkan peranan untuk membina rumpunan bangsa
Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh
ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan dan keharmonian
negara. Apakah ikatan dan jalinan ini akan berterusan jika ada rakyat
yang tidak tahu menilai perpaduan negara?. Oleh yang demikian, konsep 1
Malaysia yang diketengahkan mampu menyemai sikap saling bekerjasama
sesama rakyat. Sekadar mengambil contoh daripada persekitaran
sekeliling, rakyat Malaysia mampu menjalankan urusan perniagaan secara
perkongsian walaupun berbeza bangsa. Selain itu, jika dinilai dari alam
persekolahan, sekolah-sekolah Cina tidak lagi hanya didiami oleh bangsa
tersebut semata-mata, malahan anak-anak Melayu dan India turut menuntut
di sekolah yang sama. Begitu juga dengan bangsa India, mereka tidak
hanya tertumpu kepada sekolah jenis kebangsaan tamil atau SJK(T) sahaja.
Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap kerjasama tidak hanya wujud
dalam golongan profesional sahaja, anak-anak di bawah umur mahupun
belia-belia harapan bangsa turut mampu mengamalkan sikap saling
bekerjasama antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, konsep 1
Malaysia membantu memepertingkatkan lagi sikap tersebut seterusnya
perpaduan negara lebih mudah dicapai.
Ketulusan dan
keterbukaan sikap rakyat Malaysia hidup dalam kesatuan tiga kelompok
berbeza bangsa sering menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia yang
kagum dengan perpaduan yang dikecapi. Teras perpaduan ini adalah
komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam
kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh
nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.
Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan
toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan
mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang
positif iaitu dengan menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati
yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula
berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau
sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan
kadangkala diterima dengan tidak jujur. Malaysia memerlukan rakyat yang
dapat menerima apa sahaja perkara baik dan mendapat persetujuan secara
kesepakatan. Penerimaan semua kaum mendapatkan apa yang terbaik amat
diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Justeru, perkara-perkara
yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu
diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
Tuntasnya,
konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan
hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan
perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara.
Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas
hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia
dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk
bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh
kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan.
Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian menyeluruh
semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1
Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah
negara bangsa. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menyirup
udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keaman dan
perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Mantan
Perdana Menteri Indonesia ada menyatakan, “jika ingin melihat generasi
pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini.
buld by Fatin Nurafifah bt Ishak
No comments:
Post a Comment