Ibu bapa
merupakan orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati
keduanya jelas termaktub di dalam Quran dan Hadith. Mengecilkan hati,
melawan atau mengherdik keduanya dianggap sebagai derhaka. Menderhaka
kepada ibubapa adalah satu dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga;
meskipun banyak beribadat kepada Allah. Allah tidak menerima ibadat
orang yang derhaka kepada ibubapa. Dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw
bersabda bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua
ibubapa. Ini bermakna jika ibubapa suka kepada kita, Allah turut
meredhai kita. Sebaliknya jika mereka marah dan berkecil hati kepada
kita, Allah turut murka kepada kita.
Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah tentang perangai
ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak
sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malahan
dalam dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya. Jelas ibubapa mempunyai
hak terhadap apa saja yang ada pada kita. Sejak kita di dalam kandungan,
ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah
dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang.
Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk
kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita
mengecewakan hatinya. Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap
kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran
di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa
di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan
taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka,
anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula. Nabi Muhammad saw pernah
bersabda: “Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu bapa,
nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa
pagi lagi telah menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam
neraka.”
Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini
perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak
akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan
mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah
mereka dengan sebaik-baik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia,
selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan
kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan
pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala tersebut.
Inilah sahaja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.
Akhirnya, ingatlah pesanan Nabi saw: “Khabarkanlah berita gembira ini
kepada mereka yang berbuat baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja
bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita
buruk kepada mereka yang menderhakai ibubapa, buatlah seberapa banyak
ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan
keampunan sedikitpun kepadanya.” “Ingatlah anak yang berbuat baik kepada
ibubapa tidak akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka kepada mereka
tidak akan masuk syurga.”
buid by :Nur hazwani
No comments:
Post a Comment