Satu dilema yang dihadapi oleh ibu bapa di Malaysia pada hari ini ialah bagaimana cara untuk mengimbangi masa bekerja dengan masa untuk mendidik anak yang menjadi semakin sukar apabila majikan mereka menuntut supaya mereka balik lambat untuk menghabiskan kerja. Apatah
lagi, sebahagian kecil ibu bapa pula kurang pengetahuan dan kemahiran
dalam mendidik anak dan ini memerlukan penyelesaian. Kenyataannya ialah
ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan tidak mempunyai
masa untuk anak menyebabkan ribuan kanak-kanak di bandar ditinggalkan
bersama pembantu rumah rakyat asing, pengasuh bayi dan sebahagian kecil
dengan saudara mara. Mereka terdedah kepada pengaruh dan pemikiran
penjaga mereka ini. Kanak-kanak yang pulang dari sekolah mendapati diri
mereka di dalam rumah kosong kerana kedua-dua ibu bapa bekerja. Tiada
siapapun di rumah untuk memberikan kasih sayang, membimbing dan
menerapkan nilai kekeluargaan yang murni. Mereka sebaliknya mendapatkan
tunjuk ajar dan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Dengan pengaruh yang
tidak baik daripada rakan sebaya, wujudlah suasana yang akan membawa
mereka kepada pelbagai penyakit dan masalah sosial. Kanak-kanak yang
membesar di dalam suasana seperti itu akhirnya akan menjadi mangsa
pelbagai masalah sosial seperti keganasan di sekolah, menagih dadah
malah terbabit dengan jenayah. Ibu
bapa mesti bersedia meluangkan masa untuk bersama anak mereka.
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang ibu bapa dan tanpanya kehidupan
mereka akan musnah kerana mereka tidak memahami atau menghargai kasih
sayang dan nilai kekeluargaan dalam kehidupan mereka kemudian nanti. Ibu
bapa mestilah lebih peka terhadap kualiti ikatan kekeluargaan dan
sentiasa mengambil langkah untuk menerapkan nilai asas moral kepada anak
mereka yang diperlukan untuk membangunkan asas yang kuat kepada satu
masyarakat yang stabil dan kukuh. Jelasnya, satu program perlu dijalankan bagi meningkatkan nilai moral dan mengukuhkannya
secara berterusan untuk menyedarkan anak akan tanggungjawab terhadap
diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara.
Build by:faraatikah
No comments:
Post a Comment