APABILA menyebut
soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada
tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi
insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah
dan seminar.
Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab
yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah
SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang
dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat
Lukman kepada anaknya ialah:
1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama’ dan dengarlah
kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan
jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati
dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia
telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu
masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan.
Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani
melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau
berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu
lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi
amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.
AQIDAH
Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan
seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam.
Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi
pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada
tidak memahami aqidah Islam secara mendalam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: “Wahai anak
kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu
yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang
besar.”(Surah Luqman: 31).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada
anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang
masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan
kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid
mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.
Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada
anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu
bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus
dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir
keimanannya?
Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak
ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental.
Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala
gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling
utama bagi setiap pendidikan.
Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap
pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang
bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik
anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada
ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa:
“Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan
memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia
bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan
engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian
beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak
tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan
Allah menyaksikanku).
Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku
menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula
sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku.
Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, “Wahai Sahal!
jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga
engkau masuk ke dalam kubur.”
Katanya lagi, “Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang
Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat
maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat.” Melalui
proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang
murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama’ yang terkenal.
SOLAT
Firman Allah bermaksud:
“Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat.” (Surah Luqman: 17). Islam
memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah
diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Pokok pangkal sesuatu adalah Islam,
tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah.”
Solat yang dikhendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang
diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.
Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh
perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta
menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima
oleh Allah SWT.
Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi
jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya
menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas.
Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu
manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan
persaudaraan.
Berbakti kepada kedua ibu bapa
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya,
ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan
tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. “Bersyukurlah
kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali.”
(Surah Luqman: 41)
Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki
tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh
kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai
kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap
anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam
pendidikan Islam.
Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar.
Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap
berbakti dan menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya
menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia
seluruhnya.
SABAR
Kesabaran adalah
suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan, melaksanakan amal
soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya bukanlah suatu
perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran. Kesabaran
dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu
juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat
panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju
matlamat.
JANGAN SOMBONG
Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang
merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang
yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah
marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk
kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam.
Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka tawaduk
adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan
serta melahirkan keselamatan dan ketenangan.
KESEDERHANAAN
Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku.
Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang
sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika
bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia.
DAKWAH
Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang
mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung,” (Surah Ali Imran: 104).
Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap
meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah
Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh
kepada umat Islam sepanjang zaman.
Build byNur Hzwani
No comments:
Post a Comment