Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, merangkap Ahli Parlimen Tampin;
Yang Berhormat Dato’ Ir. Jamlus bin Hj. Aziz,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas,
Yang Berusaha Puan Rohanah bt. Baharom,
Pegawai Pelajaran Daerah Tampin Rembau;
Yang Berusaha Encik Anirwan bin Fauzee, Penolong Pegawai Daerah Tampin mewakili Pegawai Daerah Tampin,
Yang Berusaha Encik Sabudin bin Hj. Sani, Pengetua SMK Jelai (F);
Yang Berusaha Tuan Penghulu Mukim, Pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Pengurus-Pengurus Gugusan Felda Jelai, Ketua-ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan persatuan belia, AJK PIBG, guru-guru, ibu bapa dan tuan puan yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.
Saya melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah kerana kita dapat bersama-sama dalam majlis penutupan Kejohanan Olahraga SMK Jelai (F) kali ke-17 pada hari ini yang berlangsung dengan meriah. Saya amat mengalu-alukan Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini. Di sebalik kesibukan tugas, YB. Dato’dapat juga mencuri masa untuk hadir. Kami rasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan dan prihatin YB Dato’ terhadap kami.
Bagi
pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran YB. Dato’, akan dapat
menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan masyarakat Gugusan Jelai untuk
melibatkan diri dengan aktif dalam program pendidikan. Kita sedar bahawa
dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa
ke masa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai
ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Saya teringat
impian Perdana Menteri kita, YAB. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi
yang mengharapkan kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai minda
kelas pertama di sebalik kemudahan kelas pertama. Apatah lagi, tanpa
kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai
masa depan yang cerah. Anak-anak kita pula hidup dalam zaman yang
semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah.
Ini
bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya.
Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya
melanjutkan ke kolej atau universiti. Dengan adanya dasar baru kerajaan,
anak-anak di Jelai ini boleh merebut peluang. Hal ini kerana markah
sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek kokurikulum. Anak-anak
yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan kelebihan itu disebabkan
pencapaian yang baik dan keaktifan pelajar kita memang sudah terbukti.
Kita
telah berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya sehingga ke peringkat
kebangsaan. Semua ini hanya terhasil setelah usaha berterusan dijalankan
selama beberapa tahun belakangan ini dan hasilnya dapat dituai
sekarang. Saya juga melihat bahawa penyertaan pelajar dalam aktiviti
kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan masalah
sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan
dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan
dapat membentuk disiplin anak-anak. Bagi
memastikan semua pelajar berpeluang mendapat pelajaran dan dapat
bergiat dengan aktif dalam kokurikulum, kemudahan yang ada belum
mencukupi. Pihak PIBG telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan
sekolah, tetapi kewangan kita tidak memadai kerana kos dan perbelanjaan
semakin meningkat. Sedangkan perjalanan kita masih jauh dan kita tidak
mahu usaha selama ini menjadi sia-sia dan tersekat di pertengahan jalan.
Kita sedang berada di landasan yang betul untuk melahirkan anak-anak
Jelai yang berjaya. Saya mewakili pihak PIBG mengharapkan sokongan
kewangan dan moral daripada semua pihak, terutamanya daripada YB Dato’
dalam hal ini. Sokongan ibu bapa kepada saya selaku Yang Dipertua PIBG
dan jawatankuasa PIBG juga amat saya harapkan kerana setiap antara kita
boleh menyumbang demi kemajuan anak-anak kita .
Saya
percaya di bawah kepimpinan dan keprihatinan YB. Dato’, kita boleh
mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua aspek. Akhir kata,
saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada YB. Dato’ yang
sudi bersama-sama dengan kita pada petang ini. Saya menyusun jari
memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Apa yang saya
perkatakan datangnya dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan
anak-anak kita jua. Sekian.Wabillahi taufiq wal hidayah asm. Wrbh. Terima kasih.
build by nur fatihah hanisah
No comments:
Post a Comment