TEMA 4 : HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG SEMAKIN RENGGANG – USAHA-
USAHA MERAPATKANNYA
Tajuk 1 : Rencana ‐ Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, factor dan usaha)
Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang
Oleh Zaidora Zahid
Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia
sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang
membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya.
Dewasa ini, Malaysia
mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras.
Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali
merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang
semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan,
hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak
dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang
terdiri daripada orang‐orang
yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang
sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga
nukleus dan keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa,
abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga
nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir
ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrokkian
menggamit perhatian semua pihak.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin
renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan
daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta
saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan
yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa
kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan akhbar daripada Berita
Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa bertindak
mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan
orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden
yang amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan
semakin renggang, ahli‐ahli
keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling
bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini
telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu,
ahli‐ahli
keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik
dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan
pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.
Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli
keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga
emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga
bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur.
Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan warga emas
merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka
bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan
uzur ke rumah orang tua‐tua.
Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa
diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu
bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi
mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di
kaki lima.
Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak
bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela
seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas
merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak
seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.
Peribahasa
Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin
yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli
keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang
kian hangat diperdebatkan oleh media massa.
Memang tidak dapat dinafikan bahawasikap ibu bapa yang individualistik
dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini. Dewasa
ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa
kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri.
Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai
kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam
masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga
merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada.
Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar
beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih
mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak‐anak
ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat
dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan
meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu
mereka. Bertitik‐tolak dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.
Isu
ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan
nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian
yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara
berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk
keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan
sepenuhnya. Sebaik‐baiknya,
segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam
keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama. Tambahan pula,
ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.
Selain itu, ahli‐ahli
keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan
agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng
mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu
membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui
pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan
Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk
menerapkan nilai‐nilai
murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai
keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa
subjek‐subjek
ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan
erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu
praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama
ada dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan hubungan
kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar
pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.
Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐anak
muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata
peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya
dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya
golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah
institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor
kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan
mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah
melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan
kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi
bubur, eloklah kita menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga
dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari
segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang
bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi
rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero
marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat
ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam
melahirkan golongan pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu
bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata, segenap
lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu
dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan
yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku
Syurgaku” sebagai tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan
seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun
pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang
gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang
tegang.
[1 122 patah kata]
No comments:
Post a Comment