TEMA 5 : AMALAN GOTONG – ROYONG
Tajuk : Kebaikan Amalan Gotong-Royong
Dalam
meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan
individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan
bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak
generasi dulu dan amalan ini dianggap tak lapuk dek hujan, tak lekang
dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa
wajar dilestarikan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia,
terutamanya generasi alaf baru ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang
diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu
dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan
bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang
menghayati maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus
daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong- royong untuk
membersihkan sesuatu tempat?Oleh hal yang demikian, kita mestilah
mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan
bergotong-royong ini.
Kebaikan
amalan bergotong-royong yang paling signifikan ialah dapat memperindah
tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk
hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal
kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai
insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji
oleh orang lain. Dengan melaksanakan amalan gotong–royong, kita dapat
memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan
lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak
cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah,
rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara
langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni
bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong untuk
menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air.
Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong– royong, kita juga dapat
lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan
mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa,bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini
sebelum kewujudannya dipandang sepi oleh masyarakat. Janganlah kita lupa
bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Selain
itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti
kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal
daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat
mencegah dan menjauhi penyakit kerana mencegah lebih baik daripada
mengubati. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini
amatberfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti
penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan
pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa
senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang
ramai jika kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh
hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada
satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan
kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .
Tak
tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kegiatan
bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen
perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan
oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum
semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati
lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat
menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum
berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali
kebudayaan kaum-kaum masing-masing kerana masuk ke kandang kambing
mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melalui kegiatan
bergotong-royong, kita akan lebih mempercayai masyarakat sekeliling dan
menghormati sesama insan. Dengan ini, kita akan hidup saling
membantu bagai aur dengan tebing .
Melalui
kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari
kita. Hal ini seperti yang dikatakan oleh Tun Dr.Mahathir, mantan
Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri
dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai
murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum
air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada
peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan
mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima
oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Aktiviti
bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan.
Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam.
Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka
hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat
dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang
akan merasai semangat bersatu padu. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara
ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak
kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah
orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan,
dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah
yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu
apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tidak percaya? Janganlah lupa
bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa
berkat".
Intihanya,
amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan
semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah secara
tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan
gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang
untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar
amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata
pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
[865 patah kata]
No comments:
Post a Comment