TEMA 9 : KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA ASING
Tajuk 1 : Kelebihan Menguasai Bahasa Asing
Sudah
terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang
2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan
rintangan yang bakal menghambat dan perlu ditempuhi oleh setiap
individu.Penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu aset utama dalam diri
individu untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Oleh itu,
kelebihan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa yang mewarnai fokus
perbincangan akan dihuraikan secara terperinci demi manfaat bersama.
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa merupakan medium
perantaraan yang penting dan mempunyai nilai komersial yang
tinggi.Bahasa menjadi alat perhubungan dan spektrum komunikasi yang
paling efektif kepada organisasi dan individu dalam segala
hal. Kemampuan menguasai pelbagai bahasa mampu menjamin masa hadapan
yang cerah dan berpeluang untuk maju ke hadapan di samping mengilap
potensi diri yang sebenar. Sebagai contoh, seseorang individu yang mampu
menguasai pelbagai bahasa asing akanlebih mudah mendapat
pekerjaan berbanding dengan individu yang hanya menguasai satu
bahasa. Hal ini adalah kerana, persaingan untuk mendapat pekerjaan
sangat sengit. Mereka yang mempunyai kelulusan yang baik, berketrampilan
menarik dan berkebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa akan
dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan lebih mudah. Sebagai intihanya,
seseorang individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi
jambatan untuk mereka mendapat pekerjaan dengan mudah.
Selain
itu, kita juga dapat menyaksikan betapa pentingnya seseorang yang
menguasai bahasa asing untuk memudahkannya berinteraksi dan
berkomunikasi. Bagi sesetengah orang yang mempu menguasai lebih daripada
satu bahasa lebih mudah untuknya berkomunikasi, terutamanya apabila
kita berurusan dengan individu yang berasal dari luar negara. Hal ini
juga akan meningkatkan keyakinan diri kita dan mengelakkan kita tertipu
apabila berurusan dengan orang lain. Sebagai contoh, individu yang
melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka akan lebih yakin untuk
bergaul, berinteraksi dan berkomunikasi sekiranya menguasai lebih
daripada satu bahasa. Biar kita ambil contoh seorang usahawan yang
berurusniaga di luar negara, sekiranya beliau menguasai lebih daripada
satu bahasa akan mengelakkan dirinya daripada ditipu. Konklusinya,
menguasai lebih daripada satu bahasa akan memudahkan seseorang untuk
berinteraksi dan mengelakkan daripada ditipu.
Lanjutan
daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, mempelajari bahasa
asing juga dapat membantu kita memupuk semangat perpaduan yang
tinggi. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di Malaysia
dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita akan
dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut dengan lebih
mendalam. Sebagai analoginya, dengan menguasai bahasa Kadazan
atau bahasa Iban, maka perpaduan akan dapat dipupuk dengan lebih
mudah. Konklusinya, penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memupuk
perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik, sesuai dengan peribahasa tak kenal maka tak cinta.
Namun
demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah
mempelajari bahasa asing dapat membantu kita meneroka maklumat dalam
pelbagai bidang. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa, dapat
membantu kita mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang
kita kuasai. Sebagai contoh, maklumat yang terkandung dalam buku,
jurnal, akhbar dan internet yang menggunakan bahasa lain di dunia
seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Perancis dan Bahasa Arab
akan lebih difahami dan dikuasai sekiranya kita menguasai bahasa-bahasa
tersebut. Jelaslah bahawa, mempelajari bahasa asing dapat membantu kita
menelusuri pelbagai maklumat sekali gus dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan.
Sebagaimana
yang kita maklumi, menguasai bahasa asing dapat mengisi masa
lapang. Sesungguhnya, dengan mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu
yang sukar. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari bahasa Mandarin,
bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Perancis dengan menghadiri kelas
tersebut, tambahan pula pengajaran bahasa-bahasa asing ini juga
disediakan di pusat-pusat pengajian tinggi dan di sekolah-sekolah
berasrama penuh. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai
komersial bak kata peribahasasambil menyelam, minum air apabila
kemahiran menguasai bahasa asing ini boleh diaplikasikan mengikut
keperluan. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari
serta dapat mengisi masa lapang.
Sebagai
kesimpulannya, penguasaan bahasa asing banyak mendatangkan implikasi
yang positif terhadap diri kita agar menjadi ilmu penyuluh kehidupan
pada masa hadapan. Oleh itu, kita perlu menguasai pelbagai bahasa asing
agar menjadi satu kelebihan atau aset untuk menjadi modal insan yang
cemerlang kepada negara sekali gus dapat melahirkan individu yang mampu
bersaing di pentas antarabangsa. [656 patah kata]
No comments:
Post a Comment