TEMA 2 : CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG / KUALITI
Lebih
separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang
merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut
sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami
anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut
kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara,
lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap, “Berikan
saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di
sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa
dan bangsa.
Kecemerlangan
dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk
melahirkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana
untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu,
remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas
tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan
Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh
raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif
merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat,
negara maju dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak
dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar
melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala
impian mereka. Oleh itu, remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang
mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan
hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Walau
bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan
seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang
berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi
segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja
kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa
mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal
dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga
kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak
terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok,
kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti
peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalihRemaja kita harus
sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam
kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa
makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan. Remaja yang sihat dan
mempunyai jati diri yang mapan baru dapat mempertahankan kedaulatan dan
kemerdekaan negara.
Selain
itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau
personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan
nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan
yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama
yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran
agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan
kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong,
menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip
derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai
aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan
terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang
berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan
berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinah dan madani pada
suatu hari nanti.
Sementelahan
pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu
kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang
sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat
mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi
dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baru
akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja
kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi
disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan
sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka
melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat
Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya.
Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada
kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan
kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita
mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.
Intihanya, Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal
menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu
angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan
kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan
dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya
sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu,
remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta
melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan
diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
[724 patah kata]
No comments:
Post a Comment