Saturday, 31 March 2012
Budaya Lepak
Budaya lepak ialah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi, biasanya oleh golongan remaja. Mereka memerhati orang ramai yang lalu-lalang di situ, kadang-kadang sambil bermain lagu atau menghisap rokok. Adakalanya mereka mengusik gadis-gadis yang lalu dengan bersiul atau gelak ketawa yang berlebihan dengan keadaan yang tidak menentu.
Budaya lepak juga sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah.
Punca wujudnya budaya lepak
Sikap ibu bapa
Ada ibu bapa yang terlalu mengharap anak-anak dididik sepenuhnya oleh guru-guru di sekolah dan tidak mengambil perhatian yang berat dalam pendidikan anak-anak.
Keadaan di rumah
Sikap ibu bapa yang mementingkan diri sendiri, sering bertengkar, dan berselisih faham menimbulkan ketakutan dan kebosanan di kalangan anak-anak.
Pengaruh rakan sebaya
Remaja mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu perkara yang baru.
Pengaruh media massa dan eletronik
Rancangan-rancangan televisyen yang dihasilkan dari negara Barat sudah mendominasi hampir separuh daripada slot-slot rancangan televisyen yang disiarkan.
Dipetik daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Budaya_lepak
Faktor-Faktor Lepak dan hubungan Keibubapaan di kalangan Pelajar Remaja
oleh Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahaya
Masalah sosial memberikan gambaran umum mengenai pelbagai gejala yang tidak
baik berlaku di seluruh dunia dengan memberikan penumpuan kepada beberapa
gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Masalah sosial dan psikologikal di kalangan
remaja telah banyak menarik perhatian ramai orang. Masalah sosial bersifat
subjektif dan boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan masa. Laporan yang
disiarkan di dada akhbar, majalah dan media massa telah membuktikan kepada
umum bahawa gejala tidak sihat telah melanda kaum remaja di Malaysia.
Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh
masyarakat Malaysia. Ia telah menjadi tema perbincangan forum, seminar, bengkel
dan ceramah mengenai remaja. Gejala membuang masa dengan melepak pastinya
merupakan suatu penyakit di dalam masyarakat. Kegiatan ini bukan sahaja
dilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini
dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara.
Golongan remaja yang dianggap oleh Hall (1904) sebagai kumpulan individu yang
sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan keributan dan tekanan perasaan.
Kedudukannya di dalam tahap yang sedang memikirkan tujuan kehidupan. Menurut
Harre dan Lamb (1983) remaja mula melakukan penyesuaian diri yang lebih
kompleks dengan keluarga, teman sebaya dan guru, melalui aktiviti seharian dan
kehidupan sosial sesuai dengan perasaannya.
Datuk Dr.Abdul Hamid Othman dalam akhbar tempatan (Berita Harian: 15hb
Febuari 1994) menegaskan bahawa remaja yang melepak berasal daripada
masyarakat yang mendiami perkampungan baru di sekitar bandar. Suasana dalam
keluarga dan masyarakat tersebut tidak wujud sifat tegur menegur atau nasihat
menasihati antara satu dengan yang lain kerana mereka mempunyai sikap hidup yang
tidak mahu mencampuri hal-hal urusan orang lain.
Papalia dan Olds (1978) berpendapat hubungan sosial dengan teman sebaya akan
membina budaya tertentu dalam kehidupan remaja. Hubungan sosial yang sihat dan
baik boleh menghasilkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran sosial, kemahiran
penyesuaian diri, sikap bekerjasama dan hormat menghormati. Sebaliknya,
kumpulan teman sebaya yang tidak sihat akan meruntuhkan sifat dan perwatakan
yang positif.
Tingkah laku mengunjungi pusat membeli belah dan tempat hiburan di kalangan
remaja bandar yang pernah diselidiki oleh Anthony (dalam Iran Herman, 1995)
adalah hasil jalinan remaja dengan teman sebaya mereka. Di kompleks membeli
belah di New England menggelarkan diri remaja perempuan sebagai remaja arnab
dan remaja lelaki sebagai remaja tikus serta tujuan mereka adalah untuk berinteraksi
dengan teman sebaya mereka. Fenomena ini hanya berlaku di bandar sahaja kerana
di kawasan bandar terdapat berbagai tempat yang menarik untuk remaja melakukan
tingkah laku lepak. Namun satu penelitian sistematik wajar dilakukan untuk melihat
tingkah laku lepak.
Kita dapat memperhatikan ramai remaja suka berlepak di kawasan-kawasan seperti
pusat membeli-belah, pusat permainan atau lebih popular dengan nama Kafe Siber
merupakan tempat berkumpulnya kebanyakan remaja. Isu lepak ini sangat hangat
dan popular pada tahun 1994 hingga 1995 dan pelbagai pendapat, cadangan dan
perbincangan telah dipaparkan dalam media cetak sehingga perlakuan remaja
menjadi sebagai budaya lepak.
Menurut Bowlby (dalam Shahizan, Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin, 2004),
hubungan yang rapat di antara ibu bapa dan anak memudahkan perkembangan
dalaman atau ‘internal working model’ iaitu struktur pemikiran tentang diri dan
orang lain. Apabila hubungan yang erat terjalin, individu akan menganggap dirinya
sebagai baik, bernilai, dikasihi serta menganggap orang lain boleh dipercayai dan
bertanggungjawab seterusnya memperkukuhkan keyakinan personal dan
interpersonal dalam menghadapi cabaran hidup berbanding dengan individu yang
rasa kurang selamat dalam hubungan keibubapaan.
Tugas ibu bapa dalam memantau perkembangan sahsiah dan tingkah laku anak-anak
remaja akan memberi impak positif terhadap tingkah laku dan penampilan remaja
dalam masyarakat serta hubungan yang erat di antara anak dan ibu bapa mereka.
Rice dan Kobak (dalam Shahizan Hassan, Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin,
2004), berpendapat walaupun remaja dikatakan menghabiskan lebih banyak masa
bersama rakan-rakan berbanding ibu bapa, namun hubungan yang mesra di antara
ibu bapa dengan anak dianggap penting dalam proses perkembangan remaja.
Mereka memerlukan sokongan daripada ibu bapa supaya menjadi lebih berdikari dan
cekal.
Corak didikan ibu bapa adalah aspek utama yang memberi kesan mendalam terhadap
perkembangan fizikal, mental dan sosial seseorang individu. Secara tidak langsung
ia membentuk personaliti seseorang individu. Ini bermakna ibu bapa mempunyai
tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu
melengkapkan diri dalam bidang keibubapaan untuk membentuk diri dan jiwa anakanak
ke arah kebaikan. Tingkah laku ibu bapa akan dapat mempengaruhi jiwa anakanak.
Robiah et.al (2001) berpendapat kepercayaan agama adalah tenaga paling unggul
bagi menentang semua unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan
prinsip dan pendirian yang kukuh berlandaskan ajaran agama dapat mencegah remaja
daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur pergaulan bebas yang melampaui batasan.
Sarina Othman (1995) mengatakan pendidikan agama yang disemai sejak zaman
kanak-kanak dapat membentuk remaja yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa
serta dapat menolak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran agama.
Anak-anak remaja khasnya pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah
akan mengakibatkan penurunan prestasi dalam pelajaran. Sememangnya secara
logik dapat dilihat perkaitan yang ketara antara disiplin dengan pencapaian
akademik. Sebagaimana kajian Othman (dalam Oskasmazila, 2000) yang dijalankan
kepada 723 sampel dari sepuluh buah sekolah di daerah Johor Bahru. Dapatan beliau
menunjukkan bahawa suasana keluarga murid-murid tidak mempunyai kesan
langsung yang signifikan terhadap tingkah laku akademik mereka.
Walaupun remaja sedang menuju ke arah berdikari, mereka memerlukan ibu bapa
yang dapat memberi sokongan kepada mereka. Menurut Small (1990) menyatakan
remaja inginkan ibu bapa yang menghormati mereka, memberi kasih sayang,
mempunyai minat yang sama, mengakui dan menerima perkembangan kognitif dan
sosioekonomi mereka.
LEPAK DI KALANGAN REMAJA
Menurut Idris (2000) telah membuat kajian tentang fenomena budaya lepak di
kalangan pelajar remaja di bandaraya Johor Bahru. Fenomena budaya lepak
disebabkan oleh faktor kerenggangan hubungan kekeluargaan, faktor persekitaran
sebagai pemangkin dan kurang pendidikan agama. Daripada kajian ini didapati
institusi kekeluargaan adalah permulaan untuk membendung segala masalah sosial
dalam masyarakat dapat dibendung. Sememangnya terbukti hanya ibu bapa sajalah
individu paling hampir yang dapat menangani masalah anak-anak mereka. Remaja
lebih terpengaruh kepada media massa berbanding didikan ibu bapa atau pendidikan
di sekolah. Dengan itu remaja lebih terpengaruh pada faktor luar.
HUBUNGAN KEIBUBAPAAN DI KALANGAN REMAJA
Keibubapaan yang merupakan corak asuhan dan peranan ibu bapa pasti berfungsi
dalam menunjukkan arah, membimbing, mendidik dan menggerakkan individu yang
berada dalam institusi tersebut.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak.
Kewajipan ini mesti dilaksanakan dengan contoh dan amalan seharian. Solat
berjemaah adalah cara yang terbaik mengumpulkan semua ahli keluarga.
Perbincangan, teguran dan ajaran boleh dilakukan selepas solat. Hukum-hakam dan
peraturan agama mengenai hidup perlu diajar kepada anak sebelum mereka mencapai
baligh, khususnya perkara-perkara yang seksualiti.
Menurut Kaplan (1975) budaya lepak adalah berkaitan dengan psikopatologi iaitu
mengalami masalah personaliti, gangguan mental, gangguan emosi, selalu anxieti
atau depresi. Didapati juga kebanyakan golongan remaja yang terlibat dalam budaya
lepak mempunyai masalah keluarga, sukar membina hubungan rapat dengan ahli
keluarga dan sebagainya.
PELAJAR REMAJA
Masa remaja merupakan satu penggal dalam kehidupan manusia yang batasan usia
mahupun peranannya sering kali tidak terlalu jelas. Segala gerak laku yang dahulu
dianggap sebagai tanda awal keremajaan ternyata tidak lagi bernilai sebagai batasan
untuk dikategorikan remaja sebab usia yang dahulu terjadi pada akhir usia belasan 15
hingga 18, kini terjadi pada awal belasan bahkan sebelum usia sebelas tahun.
Teori remaja secara tradisional telah menekankan kepentingan keluarga dalam proses
perundingan dimana remaja melalui pelbagai transisi pada fasa tersebut, termasuk
pembentukan identiti seksual sepertimana yang diperkatakan oleh Freud (1958) dan
juga naluri kendiri mengikut Erickson (1968) serta dalam pembentukan peluangpeluang
kehidupan masa depan dan juga dalam pembentukan nilai hidup.
Kesimpulan
Aktiviti melepak bukanlah perkara baru, ianya sudah lama wujud di Malaysia. Ibu
bapa sewajarnya turut memberi perhatian kepada corak asuhan dan peranan ibu bapa
yang dilakukan di rumah kerana ianya memberi kesan yang tersendiri kepada
keterlibatan aktiviti lepak di kalangan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu
melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu agama yang cukup.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment