TEMA 6 : KEMALANGAN JALAN RAYA – FAKTOR / USAHA
Tajuk : Usaha Menangani Kemalangan Jalan Raya
Isu
nahas atau kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah
negara yang sering menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya
yang banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja satu
kerugian kepada keluarga mangsa dan rakan-rakannya, tetapi kerugian
modal insan yang besar kepada negara. Setiap nyawa yang hilang akibat
kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak
wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan
persekolahan, peperiksaan dan latihanpekerjaan. Oleh itu, prakarsa yang
pragmatik haruslah dilaksanakan dengan drastik, efektif bagi mengekang
kadar kemalangan jalan raya yang saban tahun semakin meningkat.
Sebenarnya pelbagai
modus operandi telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan.
Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau
pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran dan termasuk
penguatkuasaan dijalankan merupakan antara prakarsa kerajaan untuk
memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan
raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan
ini misalnya lebih menumpukan kepada sikap pengguna jalan raya yang
menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya
terutamanya pada musim perayaan. Namun, perkara yang masih membimbangkan
ialah banyak jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini
menjadi ancaman nombor satu di Malaysia
yang semakin menggawatkan lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah
kenderaan saban tahun. Angka kematian bukan sahaja tidak pernah menurun
malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat
untuk berlumba selain, mengambil kesempatan menguji kemampuan kenderaan
masing-masing memecut.
Usaha mensifarkan
kemalangan jalan raya bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata.
"Tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini." Ungkapan kata ini sangat
sinonim dengan sesiapa sahaja yang bertekad untuk melakukan sesuatu di
luar jangkaan. Hal ini juga seolah-olahnya merupakan kenyataan
beramaran bahawa sekiranya seseorang mahukan sesuatu, mereka akan
melakukan apa-apa sahaja. Manusia, sekiranya dalam keadaan terpaksa
boleh melakukan sesuatu yang luar biasa. Bekas Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa kerajaan tidak mahu
langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai
menganggapnya mustahil. Menurutnya, keadaan "nahas sifar" ini boleh
dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya
disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan
tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita
tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi nyawa yang akan mati di atas
jalan raya. Persoalannya, takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan
Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak
mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan, Anda Mampu
Mengubahnya memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan
raya.
Enam
belas menara pemerhati polis beroperasi di seluruh negarabermula
penghujung Jun tahun ini dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut. Dengan kehadiran
polis trafik yang dapat dilihat dari jarak jauh oleh pengguna jalan raya
di semua menara berkenaan akan memberikan kesedaran dan mengingatkan
pengguna supaya memandu dengan lebih berhemah dan bertimbang rasa. Bekas
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengatakan bahawa tiga buah
menara itu yang dibina oleh Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad
sebelum ini telah terbukti keberkesannya. Manakala, Program Pendidikan
Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) dapat membantu memberikan kesedaran dan
pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih
awal lagi berkesan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Selain
usaha pihak kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang
paling tepat untuk dilaksanakan ialah melalui pendidikan. Tidak ada yang
tidak kena dengan kempen atau ops yang dilancarkan setakat ini, cuma
pemandu di Malaysia ini perlu diberikan pendidikan, barangkali seawal mungkin. Melalui pendidikan sahaja, sikap pemandu di Malaysia
ini berupaya diperbetul. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya
(PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih akan
dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu
yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi. Begitu juga dengan
terlaksananya program keselamatan jalan raya melalui komuniti yang
membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik,
badan profesional, sukarelawan dan belia juga diharapkan akan menjadi
pemangkin bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh
warganegara.
Analisis
dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang
tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan
lain merupakan punca peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu
secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila
ada kelibat polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya.
Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang
kebaikannya dan bukan takut daripada disaman pihak berkuasa.
Sebenarnya, kesediaan untuk mematuhi peraturan, arahan, dan barisan
tidak memerlukan kita berpendidikan tinggi dan tidak pula menjatuhkan
apa-apa juga nilai baik yang ada dalam diri kita. Kempen Keselamatan
Jalan Raya bukanlah untuk menyusahkan tetapi memberikan faedah kepada
pengguna. Segala peraturan jalan raya, serta papan-papan tanda amaran
adalah sebagai panduan bagi memelihara keselamatan jalan raya untuk
semua pemandu.
Bekas
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mahu
kaedahpemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan
semulabagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman
disenaraihitamkan. Sistem tersebut berupaya beroperasi dengan baik
sekiranya diselenggarakan dengan betul. Malah, kaedah pemberian mata
'demerit' itu mampu mengurangkan masalah kemalangan jalan raya kerana
lesen pemandu yang kerap melakukan kesalahan jalan raya tidak dibenarkan
diperbaharui. Pada awal tahun ini, PDRM meminta supaya Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) menghidupkan kembali kaedah pemberian mata
"demerit" kepada pesalah jalan raya bagi membendung jumlah kemalangan
maut yang semakin serius sehingga mencecah 6,000 kematian setiap tahun
dan mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM9 bilion setiap
tahun. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman ketika itu, Senior Asisten
Komisioner (SAC) II Nooryah Md. Anuar memberitahu, sistem pemberian mata
demerit bagi setiap kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu
itu terbukti mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Melalui
kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya
(KEJARA) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman
berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan
dikira. Selagi JPJ tidak menghidupkan semula sistem itu, pihaknya tidak
dapat menguatkuasakan penggunaan kaedah berkenaan yang dilihat sebagai
kaedah terbaik menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya.
Menurutnya di Paris, jumlah kematian akibat kemalangan hanya 50 orang
setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit
berkesan dalam mengurangkanjumlah kemalangan jalan raya pada musim
perayaan.
Pemasangan
Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang antaranya berfungsi
sebagai perangkap had laju dan merakamkan pelbagai kesalahan trafik akan
dipasang di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan sekitar Kuala Lumpur,
serta Shah Alam. Pemasangan kamera itu yang akan dilaksanakan dalam
tiga fasa sehingga 2010. Di bawah fasa pertama dan kedua,Unit Kamera
Pengawasan Bergerak telah diwujudkan untuk memantau pemandu dan pengguna
jalan raya yang memandu dengan laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.
Di bawah fasa ketiga, kamera pengawasan akan mengawasi aspek kesalahan
lalu lintas yang lain seperti memotong di garisan berkembar dan
menggunakan lorong kecemasan. Pemasangan sistem yang dilaksanakan oleh
JPJ itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi
undang-undang lalu lintas dan sebagai bukti pendakwaan. AES ialah antara
empat projek yang dicadangkan kementerian itu di bawah Pelan Induk
Keselamatan Jalan Raya selama lima
tahun (2006-2010). Projek lain pula membabitkan program dalam
pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, dan perlindungan alam sekitar.
AES akan diletakkan di lorong-lorong kenderaan awam di Kuala Lumpur,
lampu-lampu isyarat di seluruh Shah Alam dan juga di kawalan perangkap
had laju di Lebuh Raya Utara Selatan. Melalui AES, kamera mengawasi
setiap pergerakan kenderaan dan mencatat kelajuan dan maklumat itu
dihubungkan ke pusat kawalan untuk mengenal pasti kenderaan yang
melakukan kesalahan lain lintas. Anggota JPJ yang bertugas di pusat
kawalan itu nanti akan memproses gambar yang diterima itu bagi mengenal
pasti identiti dan alamat pemandu. Sistem itu terbukti berkesan dalam
mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan
kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas itu. Negara-negara
seperti Australia, Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Korea Selatan
telah lama menggunakan sistem ini dalam usaha mendisiplinkan pemandu dan
pengguna.
Secara
tuntas, pihak polis atau penguat kuasa memang sentiasa berusaha
sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah. Namun,
soal keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab setiap individu
sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa
atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan
statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu
tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada
sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara
yang mustahil. Tegasnya, setiap pengguna haruslah mempunyai komitmen
yang perlu ditunaikan setiap kali berada di jalan raya.
[1 361 patah kata]
No comments:
Post a Comment