TEMA 3 : PERMAINAN TRADISIONAL – USAHA-USAHA
Tajuk : Cara-cara Mempopularkan Permainan Tradisional
Dasawarsa ini,
negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga
negara kita mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan
itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan disisihkan oleh
masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan
perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam
kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah
kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan lenyap di bumi kita
ini? Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu
mencaripendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan
tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang
terguling, di situ cendawan tumbuh. Oleh itu, prakarsa untuk
mempopularkan permainan tradisional ini patut dilaksanakan dengan
bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat permainan tradisional ini.
Sesungguhnya, Kempen
Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh
untuk mempopularkan permainan tradisional ini di negara kita. Kempen
ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara
besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat
khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan
dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di
negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain
memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu menyedarkan
orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat
dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut,
seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan
sebagainya. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta lantaran itu,
golongan muda pasti menghargai dan berminat terhadap permainan
tradisional kita.
Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia
perlumenjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di
sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus
digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional.
Berpaksikan kelab permainan tradisional sepertiKelab Wau Bulan, pelajar
boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan
syarat-syarat permainan. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan
berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut.
Hakikatnya, generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk
kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Justeru, penglibatan
pelajar secara langsung dalam permainan tradisional pasti dapat
memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni
budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata
peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan maka atas komitmen
pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan
ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk
melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah yang sangat bermanfaat.
Sementelahan
pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk mempopularkan
permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana,
sebagai fitrah manusia memang suka bertanding dan berlaga.
Seterusnya agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti
pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian
Pelancongan Malaysia boleh bergabung dengan badan korporat
seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan
tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival
Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan
layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut
dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Hal ini berjaya
mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong
asing, selaras dengan peribahasa, sambil menyelam minum air.
Secara
intihanya/Sebagai intiha bicara, permainan tradisional harus
dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.
Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di
tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah
peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh
itu, semua pihak perlulah bersinergi untuk mempopularkan permainan
tradisional ini agar dapat dilestarikan sampai bila-bila dan menjadi
satu alat permainan yang mesti dimainkan oleh generasi pada masa akan
datang.
[583 patah kata]
No comments:
Post a Comment