Sunday 1 April 2012

Bab 1 - Novel T2 : Erti Sebuah Pengorbanan


Bab 1 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 1: Kisah Seorang Kawan

Iman Zulaikha, gadis berusia 13 tahun, bersahabat baik dengan Pei Wen. Mereka tinggal berdekatan dan belajar bersama-sama. Ibu bapa Iman telah bercerai ketika Iman berusia 12 tahun. Iman tinggal bersama dengan datuk dan neneknya, setelah ibunya melanjutkan pelajaran ijazah kedoktoran di New Zealand selama dua tahun.

Linda dan Iman bermusuh ketat di sekolah. Linda tidak mahu menganggotai kumpulan kerja kursus Sejarah Iman. Akhirnya, Iman bertindak menyertai kumpulan Zulkarnain dan Mohana. Iman turut bersimpati akan nasib Pei Wen. Saban hari, Pei Wen perlu berhadapan dengan ibu tirinya yang garang. Ketika merenung gambar keluarga, Iman terkenang akan perpisahan ibu dan bapanya. Walaupun mereka sudah berpisah, ibu dan bapanya masih bersahabat dan berharap agar Iman belajar berdikari dan menerima kenyataan.

Selepas waktu zuhur, Pei Wen mengunjungi rumah Iman. Pei Wen meluahkan perasaannya tentang ibu tirinya (mak cik, gelar Pei Wen) dan kehadiran lelaki asing kepada Iman. Sikap ibu tirinya (mak cik) berubah sejak dia keguguran apatah lagi bapa Pei Wen senantiasa sibuk di gerai ikan. Ibu tirinya pula sibuk menyiapkan tempahan kain baju pelanggan. Datuk dan nenek Iman telah menasihati Pei Wen.

Sebelum tidur, Iman akan membaca dan membalas e-mel ibunya di New Zealand. Melalui e-mel, ibu memberitahu Iman tentang kesibukan kuliah dan tugasannya. Turut disebut, Albert pemuda Inggeris yang berkaca mata, kenalan baharu ibu. Menurut Iman, ayahnya baru balik dari Manila. Iman bertekad untuk menyatukan ibu dan ayahnya semula. Dia mempunyai rancangan pada 15 haribulan kerana hari tersebut ialah hari jadi ibunya.

Kosa Kata / Makna:
1. Terik - amat sangat (panas matahari)
2. Berjemaah – beramai-ramai, bersama-sama
3. Menjenguk – melihat (menengok) dengan menghulurkan kepala
4. Membelek-belek – memerhati dengan teliti, mengincar, memeriksa
5. Janggal – tidak sedap dilihat atau didengar, canggung
6. Muktamad – kepercayaan, tidak boleh dipinda-pinda lagi, pasti, tegas
7. Kecoh – tipu, heboh, bising, riuh
8. Berkenan – bersetuju di hati, berasa gembira
9. Tersengih – tersenyum dengan mulut terbuka sedikit
10. Keakraban – perhubungan atau pertalian yang sangat erat
11. Luntur – turun atau berubah warnanya, berubah, bertukar
12. Visi – tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam
13. Zuhur – waktu tergelincir matahari ke arah barat hingga bayang-bayang kayu dsb. sama panjang dengan kayu dsb. yang menjadi pengukurnya.
14. Melengah-lengahkan – mengabaikan, melalaikan, melambat-lambatkan
15. Berkobar-kobar – bernyala-nyala dengan hebatnya atau bergolak, bergelora dengan amat sangat
16. Tempahan – pesanan
17. Bertoleransi – mempunyai atau menunjukkan toleransi (sifat toleran – sedia menghormati)
~ Farrah Fazira

1 comment:

  1. terima kasih......saya buat kerja sangat senang(๑◕ ₃ ◕๑)

    ReplyDelete