Sunday, 1 April 2012

contoh ucapan ydp pibg

Yang berusaha pengacara majlis,
Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, merangkap Ahli Parlimen Tampin;
Yang Berhormat Dato’ Ir. Jamlus bin Hj. Aziz,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Sembilan
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas,
Yang Berusaha Puan Rohanah bt. Baharom,
Pegawai Pelajaran Daerah Tampin Rembau;
Yang Berusaha Encik Anirwan bin Fauzee, Penolong Pegawai Daerah Tampin mewakili Pegawai Daerah Tampin,
Yang Berusaha Encik Sabudin bin Hj. Sani, Pengetua SMK Jelai (F);
Y
ang Berusaha Tuan Penghulu Mukim, Pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah,  Pengurus-Pengurus Gugusan Felda Jelai, Ketua-ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan persatuan belia, AJK PIBG, guru-guru, ibu bapa dan tuan puan yang dihormati sekalian. 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.
Saya melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah kerana kita dapat bersama-sama dalam majlis penutupan Kejohanan Olahraga SMK Jelai (F) kali ke-17 pada hari ini yang berlangsung dengan meriah. Saya amat mengalu-alukan Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini. Di sebalik kesibukan tugas, YB. Dato’dapat juga mencuri masa untuk hadir. Kami rasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan dan prihatin YB Dato’ terhadap kami. 
            Bagi pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran YB. Dato’, akan dapat menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan masyarakat Gugusan Jelai untuk melibatkan diri dengan aktif dalam program pendidikan. Kita sedar bahawa dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke masa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Saya teringat impian Perdana Menteri kita, YAB. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi yang mengharapkan kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama di sebalik kemudahan kelas pertama. Apatah lagi, tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah. Anak-anak kita pula hidup dalam zaman yang semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah.  
            Ini bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan ke kolej atau universiti. Dengan adanya dasar baru kerajaan, anak-anak di Jelai ini boleh merebut peluang. Hal ini kerana markah sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek kokurikulum. Anak-anak yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan kelebihan itu disebabkan pencapaian yang baik dan keaktifan pelajar kita memang sudah terbukti.  
Kita telah berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya sehingga ke peringkat kebangsaan. Semua ini hanya terhasil setelah usaha berterusan dijalankan selama beberapa tahun belakangan ini dan hasilnya dapat dituai sekarang. Saya juga melihat bahawa penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan masalah sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan dapat membentuk disiplin anak-anak. Bagi memastikan semua pelajar berpeluang mendapat pelajaran dan dapat bergiat dengan aktif dalam kokurikulum, kemudahan yang ada belum mencukupi. Pihak PIBG telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah, tetapi kewangan kita tidak memadai kerana kos dan perbelanjaan semakin meningkat. Sedangkan perjalanan kita masih jauh dan kita tidak mahu usaha selama ini menjadi sia-sia dan tersekat di pertengahan jalan. Kita sedang berada di landasan yang betul untuk melahirkan anak-anak Jelai yang berjaya. Saya mewakili pihak PIBG mengharapkan sokongan kewangan dan moral daripada semua pihak, terutamanya daripada YB Dato’ dalam hal ini. Sokongan ibu bapa kepada saya selaku Yang Dipertua PIBG dan jawatankuasa PIBG juga amat saya harapkan kerana setiap antara kita boleh menyumbang demi kemajuan anak-anak kita . 
Saya percaya di bawah kepimpinan dan keprihatinan YB. Dato’, kita boleh mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua aspek. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada YB. Dato’ yang sudi bersama-sama dengan kita pada petang ini. Saya menyusun jari memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Apa yang saya perkatakan datangnya dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan anak-anak kita jua.  
Sekian.Wabillahi taufiq wal hidayah asm. Wrbh. Terima kasih.


build by nur fatihah hanisah

isu pengangkutan awam

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

build by nur fatihah hanisah

cerpen menarik jiwa islam

Saya terbaca cerpen ini yang tidak diketahui penulisnya tetapi sangat menarik.
Dunia Islam
Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.
“Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman.”
Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.
“Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang.Nanti didendanya pakcik,” kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya.Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.
Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka…Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.
“Hoi budak, Aku di mana sekarang ?” soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.
Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab.
Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.
“Assalamualaikum….Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman…. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali.”
Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak.Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?
” Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? ” tanyanya angkuh.
“Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat,” kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.
“Oh, oh …. maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu?Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?” Tanya pegawai itu pula.
Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula -Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.
“Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. “
“Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa.”
Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. “Dimana aku sebenarnya ni?” Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.
“Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah,namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini.”
Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr.Johar.
“Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat…”
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring danjelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.
“Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Nerakaamat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!” rayu lelaki itu.
Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas ….Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum.Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :
“Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed AlAbrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman.Sila datang!”
Datuk Dr. Johar orang besar DarulGhurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.
“Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di siniuntuk lelaki.”
“Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan.”Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. “Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!”.
Lelaki itu tersenyum.”Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women’s Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,”terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.
“Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni…”
“Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu… Subhanallah….”Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.
Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. “Nasi beriani sepinggan!”ujarnya kepada pelayan.
“Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan.
“Ya ! Apa peliknya?”, “Baik,tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?”tanya pelayan berkulit hitam itu.
Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu keempat orangenikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.
“Jemput makan dengan nama Allah yang memberiezeki,” kata pelayan itu dengan sopan.
Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.
” Ya Allah,apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, “ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja.
“Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?”tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati.
Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. “Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ….malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana ” Keluhnya.”Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita, keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.”Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya…. saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat,” kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.
Datuk Dr.Johar makin pelik. “Tambah nasi sepinggan lagi!”ujarnya kepada pelayan restoran.
“Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan….berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ….,” kata pelayan itu lagi.
“Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!” bentaknya. Marah campur geram.
“Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khususuntuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!
“Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?” leternya perlahan-lahan.
“Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya…..”
“Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang …Di mana boleh saya dapati ?” tanyanya.
“Di sana,tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.
Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh…Oh … seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.
Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.
Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: ‘RAJA’. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti… FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI..Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? “Tak ada lagu yang hot sikit ke?” tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.
“Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.T op-hit anak-anak muda sekarang…”
“Ya, ya saya setuju,” balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.
Ayat suci Al-Quran a… “Eh …ni suara orang mengaji,”
“Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya,” kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.
Kemudian getaran suara bergema…. Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mumendamba kasih yang tidak berhujungmengutip sayang di hamparan cinta suci.Inilah getaran hatiku memburu cinta…….stanza hati merindu Ilahi!”Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
“Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah …”
Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata ” Saya bayar dengan kad kredit saja!” Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.
“Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yangboleh kami terima, kami halalkan sajalah.”
“Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri.”
” Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka.”
“Ah, aku tak nak dengar semuanya. makin gila aku dibuatnya,” pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.
Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan ‘MAKRUFAT AIRTRANSPORT’ sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :” KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH “. Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.
Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.
“Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !”
Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.
“Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? “tanya Datuk Dr.Johar.
“Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya…”
“Habis, mereka mahu apa?”
“Mereka mahu Islam, Datuk!”
“Islam ? ” keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.
“ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI

build by nur fatihah hanisah

Meningkatkan daya ingatan

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yg pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi.
Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa. Antaranya ialah:
Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.
Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yg suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yg cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yg baru. Oleh itu, amalkan tidur yg cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.
Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.
Berhati-hati dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan
Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yg kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yg memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yg diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yg seimbang atau rujuk dahulu doktor yg bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.
Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak.Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik.Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.
Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.
Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.
Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.
Permainan Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.
Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.
Katakan Berulang Kali
Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.
Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.
Bermain Dengan Angka
Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan. 


build by Nur Hazwani

Khasiat limau nipis

Limau nipis bukan buah yang asing bagi kita. Dulu, ketika masih kanak-kanak, kita mungkin biasa minum perahan limau nipis yang dicampur dengan kicap dan sedikit garam untuk menyembuhkan batuk. Memang rasanya masam tapi batuk beransur-ansur sembuh bukan? Atau jika hari panas, air limau nipis sejuk menjadi penawar dahaga. Air limau nipis kononnya dapat mengeimbangkan makanan berlemak. Sebenarnya masih banyak kegunaan buah limau nipis ini, dari menghilangkan sembelit hingga menghindarkan kedut-kedut pada wajah.
Limau nipis atau nama botaninya citrus aurantifolia. Kalau di barat dipanggil lime, bangsa Sepanyol mengenali sebagai lima, sementara orang Arab menyebutnya limah. Pohon limau nipis boleh mencapai ketinggian hingga 4 meter, lebih pendek dari ‘saudara’nya limau purut. Buahnya berbentuk bulat sebesar bola ping pong dengan kulit luar berwarna hijau, setelah tua menjadi kuning. Seperti buahnya yang kecil, bunganya pun berukuran kecil-kecil berwarna putih.
Rasa masam pada limau nipis dan semua jenis limau lainnya, berperanan pembuang toksin terbesar dibandingkan buah-buah lain. Rasa masam dan unsur pectin yang terkandung di dalamnya membantu menghilangkan racun-racun dalam tubuh. Jika ingin melakukan pembuangan toksin, anda boleh minum segelas besar air yang ditambah dengan perahan limau nipis setiap pagi kemudian diikuti dengan segelas besar air putih setiap jam berikutnya. Jika tidak tahan dengan rasa masamnya, limau nipis boleh digantikan dengan limau biasa.
Kadang-kadang proses pembuangan toksin diikuti dengan keluarnya gejala seperti kulit kering atau sakit kepala. Gejala ini berjalan seiring dengan keluarnya racun dari tubuh dan keadaan ini adalah wajar. Namun jika tidak yakin, anda mesti mendapatkan nasihat doktor. Selain itu, disarankan agar tidak memakan limau nipis untuk membuang toksin ketika tubuh tidak sihat kerana keadaan ini boleh memburukkan lagi kesihatan anda.
Tingkat daya tahan tubuh . Menurut buku Food That Harm Food That Heal, meminum air limau ini sebiji sehari, akan meningkatkan daya tahan tubuh dari serangan virus. Vitamin C yang tinggi dari buah ini akan menyediakan antioksidan untuk menjinakkan radikal bebas dalam tubuh. Sementara sejumlah mineral, potasium di alamnya bermanfaat untuk membantu mengatur tekanan darah dan fungsi jantung, serta vital untuk memelihara kelenturan otot dan memperlancar sistem saraf.
Selagi tidak disebabkan oleh jangkitan di tekak atau jangkitan paru yang parah, limau nipis berkesan untuk menghilangkan batuk. Ini kerana beberapa kandungan mineral yang penting pada limau nipis seperti kalsium, pospor, potasium dan besi. Seperti diketahui, besi adalah suatu antioksidan.
Potasium menyeimbangkan tekanan darah menguatkan fungsi jantung. Ada pun pospor memperbaiki metabolisme tubuh. Kombinasi vitamin C dan beberapa mineral tersebut sudah tentu berkesan untuk mengatasi gangguan ringan pada tubuh, seperti masuk angin, yang menyebabkan batuk. Secara tradisional, penggunaan limau nipis sebagai ubat batuk adalah cukup dengan membelah sebiji limau nipis dan dituangkan dengan sedikit kicap di atas hirisan limau tersebut, lalu diperah ke dalam mulut. Penggunaan kicap itu sendiri tidak jelas tujuannya.
Mungkin kicap digunakan untuk mengseimbangkan rasa masam yang sangat kuat dari limau nipis. Kicap dipilih kerana rasa manis yang ditimbulkan juga tidak setajam rasa manis pada gula yang boleh merangsang munculnya batuk. Kombinasi semacam ini umum dijumpai pada ubat-ubat dijual di kedai-kedai ubat Cina.
Demam
Petiklah 2-4 genggam daun limau nipis. Rebus dengan 2 hingga 4 gelas air. Gunakan air rebusan ini untuk menuam pesakit yang demam. Caranya dengan membasuh kain pada air rebusan dan diperas, lalu ditempelkan pada dahi pesakit.
Batuk
Ambil air limau nipis satu sudu teh. Campur dengan kicap manis. Minumlah tiga kali sehari. Cara lain untuk mengubati batuk ialah dengan memanggang limau nipis sebentar di atas api. Biarkan sebentar hingga menjadi suam-suam kuku, belah buah limau nipis tersebut, lalu langsung perah ke dalam mulut hingga mengalir ke tekak. Resipi ini baik juga untuk menyembuhkan
Selesema
Menghentikan kebiasaan merokok.. Hisaplah sehiris limau nipis. Rasanya yang masam segar membuat anda terangsang untuk minum air putih. Lakukan beberapa kali sehari. Cara ini selain mengurangi keinginan untuk merokok, juga membantu membersihkan nikotin yang sudah terdapat pada gigi dan mulut.
Bau ketiak yang tak sedap
Siapkan limau nipis yang dicampur kapur sirih. Setelah mandi, sapukan campuran ini pada ketiak dan biarkan beberapa waktu sebelum dibasuh. Lakukan pagi dan petang.

build by nur hazwani

Bab 2 :Erti Sebuah Pengorbanan


Bab 2 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 2: Pemilihan

Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial kepada murid-murid Tingkatan Satu Dinamik. Adif Danial bertukar dari SMK Damansara. Linda pula mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Adif.

Cikgu Julia turut mengumumkan pertandingan pidato peringkat daerah. Seorang pemidato dari Tingkatan Satu Dinamik akan dipilih. Ai Ling mencadangkan nama Iman Zulaikha. Cadangan Ai Ling disokong oleh Pei Wen. Malangnya, Linda tidak bersetuju. Sebenarnya, Linda ingin bertanding dengan Iman. Cikgu Julia akan berbincang dengan Cikgu Osman, guru Perbama tentang tarikh pertandingan bersertakan tajuknya. Berkat dorongan dan sokongan rakan-rakan, akhirnya Iman bersetuju untuk berentap dengan Linda.

Selepas menjamu selera di kantin, Iman dan Pei Wen berbual-bual tentang ibu tiri Pei Wen. Menurut Pei Wen, ibu tirinya meminta maaf dan berpesan agar hal yang berlaku tidak sampai ke pengetahuan bapanya. Zulkarnain dan Adif Danial menghampiri mereka. Zulkarnain meluahkan perasaan bengangnya terhadap sikap Linda. Iman terpaksa menenangkan Zulkarnain.

Cikgu Julia telah menyerahkan tiga buah tajuk pidato untuk dipilih oleh Iman. Sejak hari itu, Iman membuat rujukan di perpustakaan bersama-sama Pei Wen, Adif Danial dan Zulkarnain. Iman turut mendapat bimbingan Cikgu Julia, guru bahasa Malaysia di sekolah itu. Pertandingan pidato antara Iman dan Julia akan bermula 9 pagi, hari Sabtu minggu berikutnya. Hubungan Iman dengan Linda semakin renggang. Jika bertembung, Linda pasti akan mengelak atau memalingkan wajah.

Pagi itu, sebaik sahaja tiba di sekolah, Iman bersemuka dengan Linda. Maka berlakulah pertikaman lidah. Linda menuduh Iman bertindak mempengaruhi kawan-kawannya, termasuklah Adif Danial. Mujur muncul Zulkarnain, Adif Danial dan Pei Wen. Iman segera meninggalkan kelas. Pei Wen mengekorinya ke tandas. Iman menangis di dalam tandas. Dia ingin menarik diri daripada pertandingan. Pei Wen tidak berpuas hati sambil bertindak memberikan dorongan kepada Iman. Menurut Pei Wen, maruah sekolah di bahu Iman. Akhirnya, semangat baharu menular ke dalam diri Iman.

Kosa Kata / Makna:
1. Mara – bergerak ke muka, tampil ke hadapan, maju
2. Melemparkan – membalingkan, melantingkan, melontarkan
3. Menonjolkan – menjorokkan, menyorongkan (ke muka), menampakkan, muncul
4. Berentap – beradu pengaruh, kebolehan, kekuatan dengan hebatnya untuk mencapai kemenangan
5. Mengejek – mempersendakan orang, mencemuh, menghina
6. Menjeling – memandang dengan ekor mata, mengerling
7. Menyiku – menyinggung dengan siku
8. Sepakat – setuju, sependirian, seia sekata
9. Bersaing – atas-mengatasi, dahulu-mendahului
10. Menoleh – berpaling atau berpusing muka ke kiri (ke kanan atau ke belakang) untuk melihat
11. Getus – getis, gentis
12. Strategi – ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak-tanduk peperangan
13. Gelagat – tingkah laku, gerak-geri
14. Bertembung – berjumpa (dengan tidak sengaja), bersua, bertemu, terjerempak
15. Bersemuka – berhadapan muka (dengan)
16. Hipokrit – (orang yang) berpura-pura berperangai baik
17. Mengekori – mengikuti atau menyertai dari belakang
18. Mengesat – menyapu-nyapu atau menggosok supaya kering
19. Menggenggam – memegang dalam genggam, menguasai
20. Menular – membiak atau menjangkit, merebak ke merata-rata tempat
21. Maruah – kehormatan, harga diri
~Lailatul Umairah

Luqmanul Hakim:Model atrbiyah islam

APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.
Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:
1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama’ dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.
AQIDAH
Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: “Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”(Surah Luqman: 31).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.
Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya?
Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.
Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa:
“Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku).
Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, “Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur.”
Katanya lagi, “Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat.” Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama’ yang terkenal.
SOLAT
Firman Allah bermaksud:
“Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat.” (Surah Luqman: 17). Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah.” Solat yang dikhendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.
Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah SWT.
Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.
Berbakti kepada kedua ibu bapa
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. “Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali.” (Surah Luqman: 41)
Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam pendidikan Islam.
Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya.
SABAR
Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju matlamat.
JANGAN SOMBONG
Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan.
KESEDERHANAAN
Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku. Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia.
DAKWAH
Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung,” (Surah Ali Imran: 104).
Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.

Build byNur Hzwani