Monday 26 March 2012

TEMA 7 : PERPADUAN – PERANAN PELBAGAI PIHAK
Tajuk 1 : Kaedah Dan Langkah Yang Telah Diambil Oleh Pihak Kerajaan Dalam Menyuburkan
Integrasi Dan Perpaduan Di Malaysia
PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin partipembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi(perbuatan /ucapan yang memperlihatkan sesuatu(menjadi nyata)perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar (Ekonomi Baru.
Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah
bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara
pemuafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan
keadaan yang tidak diingini.
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.” Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistempeperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat
berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan
suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran
Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-
sifat mulia serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati
sesama manusia.
Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang
Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri
pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan
tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun
Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya
golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan
yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT
Program Pemuafakatan Masyarakat
Program pemuafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program- program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, makan beradab, gotong royong, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Hari Keluarga dan Sukan Rakyat
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.
Acara kebudayaan dan kesenian
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat, tarian singa, tarian bharathanatiyam, tarian bhangra serta pelbagai persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.
Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali
Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperoleh daripada pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.
Aktiviti Riadah
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda,INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, Perarakan Sambutan Maulidur Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat-menghormati sesama masyarakat.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAH
Sekolah Penyayang
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibu bapa pelajar melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta akan sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu bapa para pelajar.
Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan iaitu pelajar-pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Hal ini membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.
Penyertaan Dalam Kokurikulum
Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam pasukan unit beruniform, persatuan dan kelab, serta permainan dan sukan. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tertentu semasa mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih daripada pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil daripada penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu dalam usaha memupuk perpaduan sekali gus dapat membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin, berharmoni, bersatu padu dan berintegrasi.
Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulang tahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cinta akan kehidupan bersatu padu dan kestabilan negara.
Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah
Sekolah menggalakkan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumah- rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanak- kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan daripada program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberikan kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.
Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.

PENUTUP:
Kejeleketan(hubungan yang sangat erat/sinergi) perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip Rukun Negara.
Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warganegara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif(bersama-sama) serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia.
Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi
menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun
terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih
dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan
bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional
akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Tajuk 2 : Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia
Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat.
Usaha pertama untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah denganmengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.
Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan akibat kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.
Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi.Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun
terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih
dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan
bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional
akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
[686 patah kata]

No comments:

Post a Comment