Monday 26 March 2012

Tajuk 2 : Penguasaan Pelbagai Bahasa Asing Dan Kepentingannya
Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi. Bahasa juga di gunakan sebagai alat penyebar ilmu dan maklumat. Kita digalakkan menguasai lebih dari satu bahasa. Menguasai lebih dari satu bahasa merupakan suatu bonus khususnya untuk berkomunikasi dengan bangsa asing. Hal ini memudahkan kita berkomunikasi dengan pelancong. Dengan menguasai pelbagai bahasa kita juga akan berasa lebih berkeyakinan kepada diri kita sendiri. Di dalam negara Malaysia ini ada lima bahasa kerana negara ini mempunyai 5 kaum utama. Sekiranya kita dapat menguasai bahasa tersebut, kita dapat berbual dengan orang yang bukan seagama dengan kita atau bukan sekaum dengan kita. Bahasa Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan semuanya daripada pelbagai kaum dan agama.Sekiranya kita fasih berbahasa lain kita dapat mengetahui adat resam mereka dan mereka juga akan mengetahui adat resam kita. Kita juga boleh membaca dalam pelbagai bahasa, dengan memperbanyakkan pembacaan kita akan memperoleh banyak ilmu. Jelaslah bahawa menguasai pelbagai bahasa mempunyai banyak kepentingan dan maslahatnya.
Kita lihat pula dari sudut propenguasaan pelbagai bahasa ini. Umum mengetahui dan tidak menafikan kepentingan dan faedah menguasai pelbagai bahasa asing. Di Malaysia, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan kepada sektor ekonomi mahupun maruah negara itu sendiri. Pada tahun 2004 sahaja jumlah pelancong dari China yang berkunjung ke negara ini telah mencecah 16.4 juta orang. Hal ini menunjukkan betapa besarnya sumbangan industri pelancongan kepada Malaysia. Tetapi angkaan jutaan itu sebenarnya menunjukkan kemerosotan dalam tinjauan ketidakpuasan hati pelancong yang pernah datang ke Malaysia. Mengapakah hal ini terjadi? Kebanyakan jawapan yang diberi ialah kesukaran untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan. Rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Cina, Inggeris, Jepun dan Perancis. Hal ini menjadi masalah kerana bahasa di atas merupakan antara bahasa yang menjadi keutamaan di dunia. Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa yang sering digunakan oleh kebanyakan negara sebagai bahasa kedua mereka. Akibatnya, akan tercalarlah maruah negara di mata dunia. Negara akan dikenali sebagai rakyat yang mempunyai mentaliti yang rendah dan seterusnya akan menjejaskan ekonomi Malaysia.
Dalam pada masa itu juga, bahasa asing juga penting sebagai satu perantaraan yang memudahkan bual bicara untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Apakah tidak berkualiti bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu? Apakah bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang layak menjadi bahasa ilmu? Tepuk dada, tanya selera.Dewasa ini, penerokaan, penguasaan dan pengabdian terhadap ilmu pengetahuan banyak didalami oleh bangsa asing. Bangsa yang mana sejak lahir hingga mati akan menuturkan bahasa mereka sendiri. Sebagai umat Islam pula, bagaimana untuk kita merebut kembali tempat pertama dalam penguasaan ilmu yang suatu ketika dahulu didahului kita jika kita tidak mampu menkaji hasil kerja bangsa-bangsa asing. Ilmuan terkemuka dunia seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khawarizmi juga mempelajari bahasa asing untuk mengembangkan ilmu yang mereka ada sehingga mereka menjadi terkenal sekarang ini. Yunani telah menyebabkan karya Ibnu Sina seperti buku perubatan, Kanun Fi’al Tib diterima pakai lebih 500 tahun lamanya di universiti-universiti di Barat hampir sealaf lalu.Bahasa Hindus juga telah menyebabkan Ibnu Khawarizmi diiktiraf sebagai ahli matematik terbaik di dunia sehingga sekarang dengan teori berkaitan aljebra. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa asing terhadap perkembangan ilmu,
Berkisar tentang ilmu juga, bahasa asing amat penting terutamanya dalam melayari cabang pendidikan pada masa ini. Alam pendidikan sekarang ini lebih bersifat terbuka dan tanpa sempadan. Jika kita perhatikan, kebanyakan universiti yang wujud di dalam mahupun di luar negara sering menjadi tumpuan pelajar-pelajar yang bukan dari negara mereka sendiri. Pelajar-pelajar yang datang ke universiti itu bukan sahaja datang dari negara jiran malah beribu-ribu batu jauhnya untuk melanjutkan pelajaran. Malaysia sendiri mempunyai ramai rakyat yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Cabang pendidikan tanpa sempadan ini menghendaki golongan pelajar lebih prihatin terhadap penguasaan bahasa asing.Bagaimana hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara jika diri sendiri tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka? Bagaimana untuk kita bergaul dengan rakyat tempatan di negara mereka jika kita hanya tahu bahasa ibunda sendiri?Oleh hal yang demikian, individu khususnya golongan pelajar perlu lebih mengambil berat terhadap penguasaan bahasa asing. Mungkin pada hari inipelajar-pelajar mampu berbicara dan berdebat tentang tidak perlunya bahasa asing ini, tetapi sedarlah bahawa pada suatu hari nanti kita juga yang akan merangkak untuk mempelajari bahasa tersebut.
Dalam meniti arus globalisasi yang sangat berbeza dengan arus pemodenan, kita dihimpit dengan tekanan dari peringkat antarabangsa berkaitan kewangan dan pekerjaan. Disebabkan ini juga ramai rakyat Malaysia yang menganggur dan ramai yang menyalahkan tekanan antarabangsa sebagai penghalang kemajuan sedangkan salah itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Salah satu faktor yang menyumbang kepada pengangguran ini adalah kelemahan dan kekurangan dalam menguasai bahasa selain bahasa ibunda.Majikan sekarang ini lebih menumpukan perhatian kepada pekerja-pekerja yang mempunyai kelebihan dalam bahasa lain. Maka, pekerja-pekerja seperti ini akan menjadi kegemaran majikan untuk diterima bekerja dan malanglah bagi individu lain yang mempunyai kemahiran dan kelulusan yang sama tetapi mempunyai kelemahan dalam menguasai bahasa asing. Bagi pekerja-pekerja ini, mereka tidak menyedari kelemahan mereka dan menyalahkan orang lain sedangkan kelemahan itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Akhirnya, tahun demi tahun dihabiskan dengan melihat kepada satu rumusan yang dibuat sendiri dengan meletakkan kesalahan di bahu majikan yang memilih bulu kononnya. Maka, tidak ada suatu perubahan mahupun reformasi yang dilakukan untuk merubah diri sendiri.
Selain pelancongan, pendidikan dan pekerjaan, bahasa asing boleh dijadikan platform yang sangat berguna untuk mengeratkan satu individu dengan individu yang lain. Hubungan antarabangsa juga boleh dijalinkan lebih erat dengan menguasai bahasa mereka. Bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca sewaktu zaman kegemilangan empayar Melaka pada suatu masa dahulu.Pedagang-pedagang yang datang berdagang juga memilih bahasa Melayu untuk dituturkan sedangkan masih ada berpuluh-puluh bahasa yang digunakan para pedagang pada masa itu. Pedagang-pedagang berasakan bahawa bahasa Melayu mudah difahami dan dituturkan. Negara China juga menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri Melaka dari segi pertahanan sehinggakan China sanggup menghantar jeneralnya yang terkemuka iaitu Jeneral Cheng Ho untuk bertemu dengan pemerintahan Melaka. Disebabkan hubungan Melaka-Chinajugalah, Siam tidak berani untuk terus memberikan tekanan ke atas Melaka.Begitulah betapa pentingnya penguasaan bahasa asing dalam mengeratkan hubungan antarabangsa. Malaysia juga sebagai sebuah negara majmuk, mengharapkan rakyatnya menguasai bahasa asing terutamanya bahasaMandarin dan bahasa Tamil .
Sehubungan dengan itu, walaupun pelbagai tafsiran sama ada positif ataupun negatif dibuat berkaitan penguasaan bahasa asing, kita perlu menyedari kepentingan bahasa asing dari skop yang lebih luas. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa asing mempunyai pengaruh yang besar terhadap sektor pelancongan, pendidikan, pekerjaan dan perhubungan malah dalam kehidupan seharian kita. Di Malaysia, penguasaan bahasa asing adalah sangat lemah.Altitud ini pula ditambah lagi dengan sikap segelintir golongan masyarakat yang tidak mengambil tahu kepentingannya malah menentang bahasa asing.Sememangnya bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris merupakan bahasa penjajah tetapi bukankah Tunku Abdul Rahman juga menggunakan bahasa tersebut semasa menuntut kemerdekaan di London? Bukankah kita juga merubah kosa kata bahasa asing untuk dimelayukan? Bukankah bahasa Melayu sendiri terbentuk daripada bahasa Sanskrit? Mengata bahasa asing, sekurang-kurangnya bahasa tersebut ada pengiktirafan tersendiri. Jika hendak menentang dan membunuh bahasa asing dalam jiwa rakyat Malaysia adalah lebih baik kita menentang dan membunuh bahasa rojak yang semakin hari semakin menjadi-jadi di Malaysia. Malah tanpa kita sedar, kita menggunakan bahasa tersebut dalam pertuturan seharian. Mengata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih. Jangan sampai terjadi menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. Sebelum nasi menjadi bubur, seharusnya semua pihak bersinergi dalam meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa dalam diri. Usaha yang padu dan komited bukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam daripada semua rakyat Malaysia amatlah diharapkan dalam merealisasikan Wawasan 2020.
[1208 patah kata]

No comments:

Post a Comment