Monday 26 March 2012

Tajuk 2 : Amalan Menabung Perlu Dipupuk Sejak Kecil Lagi. Bincangkan Faedah-Faedah Yang Diperoleh
Melalui Amalan Menabung Ini.

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang dilaksanakan secara berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat daripada variasi bahan sama ada semula jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan semula jadi dan plastik daripada bahan tiruan. Namun, kebelakangan ini, amalan menabung kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas mengundang kerisauan kepada beberapa pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen berkenaan amalan menabung ini. Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah memerah otakmencari alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan suatu perkara yang sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya penerangan tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan menabung mampu memberikan reaksi positif, mengapa tidak kita melakukannya?

Antara faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akandapat memupuk diri menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana individu tersebut akan sentiasa mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang di dalam tabung. Justeru, individu tersebut akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan mereka untuk memperoleh sesuatu barangan walaupun pada hakikatnya mereka tidak menjadikan barangan tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilannya, seorang anak yang telah diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak menggunakan wang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil lagi umpama melentur buluh dari rebungnya akan memberikan kesan positif kepada mereka sekali gus menyematkan sikap suka berjimat cermat dalam diri mereka.

Selain itu, faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi ialah dapat menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa akan dapat digunakan untuk tujuan tertentu apabila mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika anak-anak berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk mendapatkannya tanpa perlu membebankan atau bergantung harap pada kedua-dua orang tua mereka. Tamsilannya, jika anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada di dalam atau di luar negara, ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian anak-anak mereka. Oleh itu, amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang cerah buat cahaya mata mereka.

Bukan itu sahaja, amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga akan dapat menjadi penyelamat pada waktu runcing atau kecemasan. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa akan dapat digunakan ketika berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diduga. Bak kata peribahasa Melayu, malang tidak berbau. Impaknya, individu tersebut tidak berada dalam keadaan terdesak apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka menjadikan aktiviti menabung sebagai suatu amalan. Tamsilannya, hasil tabungan yang dikumpul dari usia muda dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan pihak hospital sekiranya salah seorang ahli keluarga penabung berdepan masalah seperti kemalangan, menghidapi penyakit dan sebagainya sekali gus dapat memupuk sikap saling membantu dalam ahli keluarga. Oleh itu, amalan menabung yang dididik sejak anak-anak kecil lagi jelas membantu meringankan masalah keluarga ketika berdepan situasi rumit.

Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling haruslah sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha membudayakan amalan menabung dalam diri mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak yang diasuh supaya membudayakan amalan menabung ini akan menjadi individu yang pemurah, berjimat cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan kewangan. Jelaslah, amalan menabung ini juga merupakan usaha untuk menyediakan payung sebelum hujan dan juga suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada individu itu sendiri, keluarga, masyarakat juga negara.
[605 patah perkataan]

5 comments: