Saturday 31 March 2012

Faktor2 Yang Mempengaruhi Minat Membaca Bahan Bacaan

“Mengapa pelajar tidak minat belajar sastera?” Kelemahan dalam minat dan perasaan fobia terhadap sastera telah menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan skor markah dan prestasi sastera. Keadaan ini menimbulkan masalah-masalah susulan seperti pelajar kurang memberi perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran, pasif, tidak membuat kerja rumah dan tiada insentif untuk meningkatkan prestasi diri. Dweck (1975) dalam kajiannya membuktikan “student’s attributions of failure to lack of effort (rather than to luck, ability or other variables may alleviate learned helplessness.” Pelajar perlu sedar kekurangan usaha pada dirinya supaya dia dapat memperbaiki kelemahan pada dirinya dalam proses pembelajaran. Safiah (1979) menegaskan minat membaca di kalangan pelajar berkait rapat dengan faktor pencapaian. Membaca teks sastera memerlukan cabaran-cabaran intelektual yang berbeza. Membaca teks sastera bukan sahaja sekadar menikmati maksud yang tersurat, tetapi juga maksud yang tersirat di mana ia melibatkan penaakulan dan gerak hati. Unsur sastera dalam pendidikan berfungsi untuk memperluaskan pemikiran individu kerana genre sastera yang bermutu tinggi mempunyai makna yang tersirat yang perlu diperhalusi oleh pembaca. Bahan bacaan sastera boleh menanam sikap suka membaca di kalangan pelajar dan membudayakan tabiat membaca dalam masyarakat. Terdapatnya faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar kurang meminati sastera. Pertama, kurangnya minat membaca di kalangan pelajar menjadi penyumbang utama ke arah fenomena ini. Pelajar hari ini didedahkan kepada sumber-sumber hiburan lain yang lebih menarik berbanding dengan bahan bacaan yang berunsur lebih ringan, padat dan berbentuk hiburan. Kedua, tidak ada galakan daripada ibu bapa kerana mereka beranggapan dengan membaca bahan sastera seperti novel dan cerpen akan mengganggu pencapaian akademik. Ketiga, kurangnya pendedahan tentang sastera dan peluang pekerjaan yang berkaitan. Keempat, harga buku sastera yang tinggi. Dapatan kajian Kathy (1994) membuktikan bahawa kekurangan buku-buku sastera berbentuk rekreasi di pasaran merupakan faktor kekurangan minat pelajar terhadap sastera. Beliau mencadangkan kelab membaca ditubuhkan agar pelajar boleh digalakkan membaca dengan adanya sedikit cenderahati dan menyeru pihak penerbit atau pengarang menghasilkan buku-buku sastera dalam bentuk rekreasi yang sesuai untuk dibaca oleh pelajar. Kajian Kathy (1994) juga menggunakan teknik baca kuat untuk menggalakkan pelajar membaca dan buku percuma diberikan kepada pelajar yang terlibat. Buku-buku bentuk rekreasi perlu ditambahkan untuk menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar. Dalam memupuk minat membaca di kalangan pelajar, seharusnya ada galakan berbentuk motivasi intrinsik atau motivasi ekstrinsik daripada pihak ibu bapa atau guru. Ina Sue (1994) menjalankan kajian ke atas 39 orang murid Gred 3 dengan tujuan memupuk keseronokan membaca di kalangan murid dan murid memilih untuk membaca apabila terdapatnya galakan, pilihan bahan bacaan dan masa untuk membaca. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa murid membaca dengan penuh minat setelah mendapat galakan daripada ibu bapa dan guru. Murid juga menunjukkan respon yang positif dalam penulisan jurnal. Mohd Nasir Hassan (2002) menjalankan kajian kes selama empat minggu semasa praktikum dengan menggunakan teknik melagukan puisi. Beliau menggunakan kecerdasan muzikal yang ada pada pelajar dengan melagukan sajak diiringi petikan guitar dan tiupan harmonika serta disesuaikan dengan latar belakang yang membantu proses mengapresiasi sajak. Dapatan kajian ini menunjukkan pelajar Cina yang tidak meminati sastera dan tidak faham sastera mula meminati sastera dan boleh menghafal sajak yang dipelajari apabila dipuisilagukan. Beliau mendapati bahawa pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar adalah perlu untuk memupuk minat pelajar dalam mempelajari sastera. Terdapat keserasian antara hasil dapatan beliau dengan pandangan Ronald & Michael (1991) iaitu: A student-centred literature class is one which allow more exploration of the literary text by the learners and invites learners to develop their own responses and sensitivities. Murphy & Roopchand (2003) menjalankan untuk meninjau hubungan antara motivasi intrinsik terhadap pembelajaran dan harga diri di kalangan pelajar tradisional dan pelajar dewasa. Dapatan kajian ini menunjukkan pelajar perempuan dewasa mempunyai skor motivasi intrinsik dan harga diri yang tinggi. Motivasi intrinsik yang lemah telah menyebabkan pelajar tradisional menghadapi tekanan dalam mencapai prestasi yang baik. Sebaliknya, pelajar yang mempunyai motivasi intrinsik yang tinggi, dia dapat menangani sebarang tekanan dan mencapai prestasi yang baik. Dapatan kajian ini menyokong pendapat Flink et. Al. (1990) seperti berikut: “In relation to autonomy in the learning experience, evidence has shown that pressure on traditional students to maximise their performance is strongly associated with undermining intrinsic interest. Pengaruh Ibu Bapa Cohen (1972) mendapati variabel motivasi ibu bapa mempunyai hubungan signifikan dengan aspirasi pendidikan anak. Sikap anak boleh dikatakan menyerupai sikap ibu bapa, maka peranan ibu bapa amat penting dalam menentukan pembelajaran anak yang berjaya. Pendapat ini sejajar dengan pandangan Wilkins (1981) yang menyatakan bahawa: “…the attitudes of children are almost always the attitudes of their parents also, so that it could be said that the parents do much to determine the lack of success of their children in learning…” (m.s.53) Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan anak membaca sastera. Sastera yang digunakan sebagai bahan pengajaran dalam pendidikan tidak terlaksana secara sewenang-wenangnya sahaja. Tujuan pelaksanaan pendidikan sastera ialah mendidik pelajar untuk menjadi seorang pembaca tulen, mendidik pelajar untuk memahami dan menghayati unsur serta nilai kebaikan dan hiburan yang dapat diberikan oleh sastera, serta mendidik pelajar untuk terus menjadi pembaca tulen yang setia dan kritis sepanjang hayat. (Hashim, 1989) Dapatan kajian Johnette (1994) membuktikan peranan ibu bapa adalah penting dalam memupuk minat membaca anak-anak. Sekiranya ibu bapa meluangkan masa membaca bersama-sama dengan anak atau membaca untuk anak, minat membaca anak akan terpupuk secara tidak langsung. Terdapatnya hubungan yang baik dan sokongan daripada ibu bapa boleh meningkatkan minat pelajar dalam pelajaran. (Field, Lang, Yando & Bendell, 1995) Pengaruh Kaedah Dan Teknik Pengajaran Dan Pembelajaran Pensyarah Faktor guru dan pengajaran merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Guru yang mengajar dengan baik dapat mengubah persepsi pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Untuk mengubah persepsi pelajar, guru perlu memainkan peranan membentuk minat pelajar serta lebih menumpukan perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran kelas. Oleh itu, guru harus sentiasa bersikap proaktif dan mengambil inisiatif untuk berusaha meningkatkan kemahiran dan menghasilkan teknik pengajaran berkesan yang mampu menarik minat pelajar, dan pada masa yang sama turut memenuhi keperluan sukatan pelajaran. Menurut Prettyman (1996), daya kreatif guru adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Minat dan kesungguhan yang mendalam pada guru itu membantu mempercepatkan proses penghayatan pelajar. Guru juga tidak seharusnya beranggapan mempelajari sastera merupakan sesuatu perkara yang mudah dan membiarkan pelajar membaca dan faham sendiri. Guru mesti mempunyai keupayaan untuk menarik hati pelajar dengan menyelami peristiwa yang berlaku sehingga pelajar benar-benar dapat merasakan sesuatu peristiwa itu. Bimbingan dan galakan daripada guru kepada pelajar amat penting agar pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah. Pendapat ini juga disarankan oleh Mike, yang menyatakan bahawa: “ …teachers are the decisive element in the classroom. Teachers posses power to make a chlid’s life joyous or miserable. Teachers can be an instrument of inspiration or torture to a child’s motivation to learn. Guru seharusnya menggunakan pelbagai teknik untuk memotivasi pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran. Kajian kesan pendekatan mengalami-menghayati terhadap pembelajaran sajak ke atas 51 orang pelajar Tingkatan 6 dijalankan oleh Noriah (1986). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa faktor guru dan pendekatan pengajaran guru amat mempengaruhi pencapaian pelajar dari segi kefahaman, peningkatan minat dan perubahan sikap pelajar terhadap pembelajaran sajak. Guru seharusnya menggunakan pendekatan pengajaran pemusatan pelajar agar pelajar dapat menikmati pembelajaran sajak. Guru memainkan peranan sebagai “pelajar contoh” di dalam kelas. Pelajar mudah dikawal sekiranya guru pandai memilih aktiviti yang sesuai, menjalankan pengajaran dan pembelajaran dua hala, memahami kehendak individu di dalam kelas dan menjalankan aktiviti pengukuhan berdasarkan kemampuan pelajar. ( Charles, 1985) Penerapan model pembelajaran “Role Playing”digunakan oleh Sadali dalam menjalankan kajian tindakan untuk meninjau pengaruh model ini ke atas 30 orang siswa dengan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa (a) terdapat peningkatan kemampuan guru dalam mencapai objektif pembelajaran, memotivasikan pelajar dan membimbing perbincangan; (b) pelajar lebih berani menyatakan pendapat; (c) terdapatnya kesedaran hubungan antara peranan yang dimainkan dengan masalah kehidupan masyarakat yang sebenar dan (d) memudahkan pelajar mengingat kembali tentang konsep, fakta dan teori. Model Main Peranan dicadangkan sebagai salah satu alternatif untuk mengatasi masalah kualiti proses dan hasil pembelajaran. Patricia & Barbara (1993) mengkaji perspektif guru dalam pengajaran sastera. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa: (i) guru perlu faham dan menilai kepentingan pelajar terhadap pendedahan bentuk karya sastera; (ii) guru sentiasa meminta pelajar faham kriteria spesifik dan teknik-teknik untuk menganalisis sastera; (iii) guru mengutamakan penghayatan estetika karya sastera; (iv) guru mengutamakan penglibatan pelajar dalam aktiviti penulisan kreatif; (v) guru membantu pelajar membentuk kemahiran pembelajaran kolaboratif; dan (vi) guru perlu memilih bahan bacaan sastera yang diminati oleh pelajar. Ini bemakna dari sudut guru, pelajar perlu menguasai kemahiran menganalisis, kemahiran penghayatan, kemahiran pembelajaran kolaboratif, dan kemahiran membaca genre sastera. Boza Krakar (2001) menjalankan kajian ke atas pelajar vokasional yang menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Sebanyak 40% daripada peruntukan masa ditumpukan ke atas pembelajaran sastera. Tindakan ini sangat sesuai kepada pelajar vokasional dari aspek pemupukan minat dan meningkatkan tahap penguasaan. Dapatan kajian ini menunjukkan penggunaan sastera amat mempengaruhi minat membaca dan memimpin pelajar ke arah kecemerlangan diri. Teknik membaca kuat merupakan salah satu teknik yang boleh digunakan oleh pensyarah untuk menggalakkan pelajar membaca sastera. Deborah & Linda (2003) menjalankan kajian ke atas murid Gred 1 dan Gred 4 bertujuan mewujudkan motivasi murid membaca bagi menghayati dan mengamati sastera dengan menggunakan teknik membaca kuat. Mereka mendapati bahawa murid lebih suka memilih aktiviti selain daripada membaca. Murid tidak mempunyai inspirasi untuk membaca buku-buku lain selain daripada buku teks. Kajian dijalankan dengan menggunakan teknik membaca kuat dan program “Home-School Independent Reading”. Dapatan kajian ini menunjukkan teknik membaca kuat memainkan peranan penting dalam perkembangan kemahiran membaca di kalangan murid. Teknik ini dan program tersebut dicadangkan untuk diaplikasikan di sekolah bagi memupuk minat membaca di kalangan murid. Wheatley (1992) menunjukkan bahawa pembelajaran aktif dapat mempertingkatkan pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar seharusnya diberikan peluang untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk pembentukan makna daripada pengalaman. Piramid Pengalaman Pembelajaran oleh Dale (1954), menggalakkan pembelajaran secara konkrit kepada pembelajaran secara abstrak. Pelajar dapat berfikir induktif. Ini bertepatan dengan pendapat Glenn, Steward & Simpson (1991) yang menyatakan bahawa pengajaran yang menggunakan bahan yang bermakna. Pensyarah perlu membantu pelajar dalam pembentukan pembelajaran yang bermakna. Ini sejajar dengan Gardner (1986) yang menegaskan bahawa pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang perlu diperkembangkan oleh guru. Penggunaan Alat Bantuan Mengajar (ABM) Menurut Thomas & Swartout (1963), hanya ABM yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperoleh pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap social, kemantapan emosi dan daya penghargaan. ABM yang digunakan melibatkan penggunaan deria pelajar seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau. Dengan penglibatan semua deria, pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran guru, malah pelajar lebih mudah memahami dan mengingati bahan pelajaran yang disajikan kepadanya. Penggunaan ABM yang melibatkan deria semasa pengajaran dan pembelajaran akan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. ABM bukan sahaja membantu menghidupkan kelas, malah mempelbagaikan perkembangan kognitif dan afektif pelajar. Pendapat ini sependapat dengan Lester (1956), Bruner (1966), Wilkinson (1971), Charles (1972). Abdul Ghani (1996) menegaskan faktor bahan memberi kesan dalam meningkatkan minat pelajar untuk terus menguasai sesuatu kemahiran berbahasa dan berinteraksi dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru sastera perlu menggunakan pelbagai bahan media yang sesuai dan menarik supaya boleh menukar suasana pembelajaran yang kaku kepada pembelajaran yang melibatkan pelajar. Aplikasi dan manipulasi genre sastera melalui media elektronik, pengisian komputer, borang grafik dan sebagainya dapat mengekalkan minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran sastera. Guru sastera perlu kreatif dan inovatif serta menguasai kemahiran teknologi maklumat seiring dengan arus perkembangan pendidikan semasa. Kejayaan guru memilih bahan dan media sesuai dengan dapatan kajian Nadzeri (1985). Menurut Omardin (1999), sumber dan bahan pengajaran yang digunakan oleh guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat pelajar terhadap pelajaran dan menjadikan pembelajaran lebih menarik. ABM dapat membentuk daya pemikiran, kreatif dan memperkukuhkan persepsi pelajar. Pengajaran Dan Pembelajaran Interaktif (Active Learning / Interactive Learning / Reciprocal Teaching) Vygotskian (1978) menegaskan proses interaktif semasa pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar adalah amat penting. Chickering & Gamson (1987) mencadangkan pelajar mesti lebih membuat daripada mendengar dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu membaca, menulis, membincang atau terlibat dalam penyelesaian masalah. Charles & James mendapati pelajar lebih suka strategi yang menggalakkan pembelajaran aktif seperti perbincangan kumpulan, pengajaran berasaskan audio visual, pembelajaran koperatif, perbahasan, drama, main peranan, simulasi dan bimbingan rakan sebaya. Pelajar tidak suka pengajaran dan pembelajaran yang diadakan secara kuliah tradisional. Ruhl, Hughes & Schloss (1987) dalam kajian mencadangkan pengajaran dan pembelajaran guru memasukkan aktiviti pembelajaran yang aktif lagi singkat tanpa mengurangkan isi kandungan. Dengan ini, pelajar dapat belajar lebih daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran interaktif mula diperkenalkan oleh Brown, Campione, Reeve, Ferrara & Palincsar (1991). Pembelajaran interaktif adalah suatu kaedah yang melibatkan interaksi antara pensyarah dengan pelajar, pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan komputer. Pembelajaran berlaku semasa pelajar dan pensyarah berkongsi idea dan saling memimpin dalam perbincangan. Ia mencabar pelajar untuk membentuk kebolehan untuk membuat pembentangan dapatan dan membuat rumusan hasil dapatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Grinder (1991) dalam kajian ke atas pelajar seramai 30 orang, menunjukkan bahawa 22 orang pelajar adalah berkebolehan belajar secara berkesan jika guru membekalkan aktiviti secara visual, pendengaran dan kinestetik. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pembelajaran multisensori amat sesuai dengan kehendak pelajar. Dapatan kajian Computer Technology Research (1993) menunjukkan bahawa proses penggabungan lebih daripada satu modaliti deria dapat meningkatkan ingatan dan pemahaman. Dengan mengambil peranan yang aktif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan deria untuk mengalami peristiwa baru, pelajar dapat menyelesaikan tugasan dan memperoleh pemahaman yang lebih luas dan mendalam. Dapatan kajian Schroeder (1993) membuktikan bahawa pelajar lebih suka melibatkan diri secara langsung dan pengalaman konkrit, berbanding dengan pembelajaran teori. Pengajaran dan pembelajaran aktif adalah amat sesuai bagi pelajar pada zaman sekarang. Sharmini (2001) mengemukakan pengajaran dan pembelajaran sastera amat berguna dalam masyarakat Malaysia kerana dapat membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran bahasa dan menambahkan ilmu pengetahuan. Sastera boleh merentasi kurikulum dan pelajar dapat mempelajari dengan lebih bermakna. Beliau mencadangkan kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu diubahsuaikan dengan mengintegrasikan teknik atau pendekatan kontemporari yang mesra pelajar. Pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru melemahkan perkembangan potensi pelajar dalam proses pembelajaran. Ini mengakibatkan prestasi pelajar tidak mencapai optimum. Interaksi kuliah kebanyakannya adalah berpusatkan pensyarah. Dapatan kajian Nuny Sulistiawaty (2004) menunjukkan bahawa teknik pembelajaran yang variatif dan inovatif dapat membangkitkan minat pelajar untuk belajar. Teknik interaktif mensyaratkan adanya proses pembelajaran yang komunikatif, pelajar mempunyai peluang untuk meluahkan perasaan dan pendapat, serta wujudnya integrasi penggunaan ketrampilan berbahasa. Kajian “Kecenderungan Minat Pelatih MPSS Terhadap Gaya-gaya Pengajaran” dengan pendekatan kuantitatif melalui soal selidik menunjukkan (a) terdapat dua gaya pengajaran yang diminati iaitu perbincangan kelas yang dibantu oleh pensyarah dan kuliah dengan penglibatan sukarela pelatih; (b) terdapat tiga gaya pengajaran yang tidak diminati iaitu kuliah tanpa penglibatan pelajar, kuliah dengan penglibatan wajib oleh pelajar dan kaedah tunggal iaitu pembentangan dan demonstrasi; (c) pendekatan pembelajaran koorperatif dapat membentuk pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan dan meningkatkan prestasi pelajar. Hasil dapatan ini sejajar dengan hasil dapatan Beishline & Holmes (1997) di Emporia State University (ESU) dan Weber State University (WSU). Terdapat persamaan nyata antara kecenderungan pelajar MPSS dengan pelajar ESU dan WSU. ~Farrah Fazira

No comments:

Post a Comment