Saturday 31 March 2012

Dongeng Amy Membeli Ikan

Diceritakan di sebuah negeri yang dinamakan Ipoh mali, tinggallah seorang budak yang comel lote, Amy Mastura namanya. Semua orang bandar memanggilnya Amy. Orang kampung pula memanggilnya Memey. Tapi disebabkan Amy Mastura tidak suka disamakan dengan Memey isteri Norman Hakim itu, maka dia senang dengan panggilan manja, Amy. Amy ini kulitnya putih gebu macam Zizie Ezette, memiliki mata yang galak macam Rozita Che Wan , hidung mancung macam Susan Lankaster, bibir mungil macam Angelina Jolie Malaysia tu siapa nama dia entah dan rambut panjang mengurai seperti Fauziah Gouse. Namun begitu sayang lapan kali sayang, tidak ada seorang jejaka pun yang terpikat akan keanggunannya sebab dia baru berumur 6 tahun. Masih kanak-kanak ribena, ho-ho-horlick! Amy sejak kecil hanya tinggal dengan ibunya, Mak Dara. Walaupun telah beranakkan Amy, Mak Dara sentiasa dara kerana namanya. Mak Dara telah kematian suami sejak Amy dilahirkan. Tidak seperti Amy, Mak Dara digilai setiap suami-suami orang yang menetap di negeri Ipoh mali. Kata orang, mantan suami Mak Dara itu langsung tidak kacak. Sudahlah kepalanya botak, giginya jongang, kulitnya hitam legam, saling tak tumpah muka pecah rumah. Terlalu panjang kalau mahu diceritakan ketidakhenseman wajah ayah Amy itu. Sudahlah yer, tidak mulia mengata orang yang sudah tidak ada. Nasib baiklah Amy mewarisi kecantikan ibunya. Even Amy tidak pernah merasa kasih sayang ayahnya yang jongang itu, dia mendapat kasih sayang secukupnya dari Mak Dara. Hanya ibunya sajalah tempat dia bermanja, bergomol waima bergusti lengan bersekalipun. Mak Dara pun sangat sayangkan anak tunggalnya itu hingga tidak terniat hendak mengahwini mana-mana suami orang yang mengidamkannya. Pada suatu pagi, Mak Dara menyuruh Amy Mastura pergi ke market membeli seekor ikan. Amy berjalan kaki ke market sambil bernyanyi dengan riang gembiranya. " Jika ditanya tentang cinta, macam-macamlah jawapannya..Ada cinta yang bawa ceria, Ada cinta yang sanggup merana...". Selepas itu, Amy menguji suaranya lagi dengan lagu Kisah Dongeng dari Stacy sambil teringat Drama Cinta Elysa yang ditontonnya malam tadi. Di pertengahan jalan, Amy ternampak seorang lelaki sedang memancing di sebatang sungai. Lelaki itu saling tak tumpah seperti Aril, si botak juvana yang telah menjadi hero dalam Cinta Elysa. "Wah begitu terserlah kekacakan Aril yang sedang menarik tali pancingnya dengan kuat itu," bermonolog Amy sendirian didalam hati. Amy menghampiri lelaki itu." Apa yang sedang pak cik kacak buat?" tanya Amy. "Aku sedang menarik seekor ikan yang besar," pakcik persis Aril itu menjawab. Kerana malas hendak terus berjalan ke market, Amy mendapat idea bernas, "Apa kata pakcik kacak jualkan ikan itu kepada saya?", kata Amy. Pakcik persis Aril bersetuju dan Amy pun menghulurkan duit yang telah di beri oleh ibunya. Pakcik Persis Aril terus blah! Amy kemudian menarik pancing itu dan terkejut biawak. Benda yang ditariknya itu rupanya adalah seketul batu yang besar. Dia berasa sangat takut, gelisah dan cemas. Pulanglah Amy kerumah membawa batu dengan perasaan kecewa yang tak dapat dibendung. Mak Dara sangat terkejut tapi tidak sampai hati hendak marahkan anak kesayangannya. Lantas dengan tersenyum mak dara berkata, "Kalau begini baik order Pizza!" ~Farrah Fazira

No comments:

Post a Comment