Saturday 31 March 2012

Budaya Lepak

Budaya lepak ialah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi, biasanya oleh golongan remaja. Mereka memerhati orang ramai yang lalu-lalang di situ, kadang-kadang sambil bermain lagu atau menghisap rokok. Adakalanya mereka mengusik gadis-gadis yang lalu dengan bersiul atau gelak ketawa yang berlebihan dengan keadaan yang tidak menentu. Budaya lepak juga sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah. Punca wujudnya budaya lepak Sikap ibu bapa Ada ibu bapa yang terlalu mengharap anak-anak dididik sepenuhnya oleh guru-guru di sekolah dan tidak mengambil perhatian yang berat dalam pendidikan anak-anak. Keadaan di rumah Sikap ibu bapa yang mementingkan diri sendiri, sering bertengkar, dan berselisih faham menimbulkan ketakutan dan kebosanan di kalangan anak-anak. Pengaruh rakan sebaya Remaja mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Pengaruh media massa dan eletronik Rancangan-rancangan televisyen yang dihasilkan dari negara Barat sudah mendominasi hampir separuh daripada slot-slot rancangan televisyen yang disiarkan. Dipetik daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Budaya_lepak Faktor-Faktor Lepak dan hubungan Keibubapaan di kalangan Pelajar Remaja oleh Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahaya Masalah sosial memberikan gambaran umum mengenai pelbagai gejala yang tidak baik berlaku di seluruh dunia dengan memberikan penumpuan kepada beberapa gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Masalah sosial dan psikologikal di kalangan remaja telah banyak menarik perhatian ramai orang. Masalah sosial bersifat subjektif dan boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan masa. Laporan yang disiarkan di dada akhbar, majalah dan media massa telah membuktikan kepada umum bahawa gejala tidak sihat telah melanda kaum remaja di Malaysia. Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia. Ia telah menjadi tema perbincangan forum, seminar, bengkel dan ceramah mengenai remaja. Gejala membuang masa dengan melepak pastinya merupakan suatu penyakit di dalam masyarakat. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara. Golongan remaja yang dianggap oleh Hall (1904) sebagai kumpulan individu yang sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan keributan dan tekanan perasaan. Kedudukannya di dalam tahap yang sedang memikirkan tujuan kehidupan. Menurut Harre dan Lamb (1983) remaja mula melakukan penyesuaian diri yang lebih kompleks dengan keluarga, teman sebaya dan guru, melalui aktiviti seharian dan kehidupan sosial sesuai dengan perasaannya. Datuk Dr.Abdul Hamid Othman dalam akhbar tempatan (Berita Harian: 15hb Febuari 1994) menegaskan bahawa remaja yang melepak berasal daripada masyarakat yang mendiami perkampungan baru di sekitar bandar. Suasana dalam keluarga dan masyarakat tersebut tidak wujud sifat tegur menegur atau nasihat menasihati antara satu dengan yang lain kerana mereka mempunyai sikap hidup yang tidak mahu mencampuri hal-hal urusan orang lain. Papalia dan Olds (1978) berpendapat hubungan sosial dengan teman sebaya akan membina budaya tertentu dalam kehidupan remaja. Hubungan sosial yang sihat dan baik boleh menghasilkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran sosial, kemahiran penyesuaian diri, sikap bekerjasama dan hormat menghormati. Sebaliknya, kumpulan teman sebaya yang tidak sihat akan meruntuhkan sifat dan perwatakan yang positif. Tingkah laku mengunjungi pusat membeli belah dan tempat hiburan di kalangan remaja bandar yang pernah diselidiki oleh Anthony (dalam Iran Herman, 1995) adalah hasil jalinan remaja dengan teman sebaya mereka. Di kompleks membeli belah di New England menggelarkan diri remaja perempuan sebagai remaja arnab dan remaja lelaki sebagai remaja tikus serta tujuan mereka adalah untuk berinteraksi dengan teman sebaya mereka. Fenomena ini hanya berlaku di bandar sahaja kerana di kawasan bandar terdapat berbagai tempat yang menarik untuk remaja melakukan tingkah laku lepak. Namun satu penelitian sistematik wajar dilakukan untuk melihat tingkah laku lepak. Kita dapat memperhatikan ramai remaja suka berlepak di kawasan-kawasan seperti pusat membeli-belah, pusat permainan atau lebih popular dengan nama Kafe Siber merupakan tempat berkumpulnya kebanyakan remaja. Isu lepak ini sangat hangat dan popular pada tahun 1994 hingga 1995 dan pelbagai pendapat, cadangan dan perbincangan telah dipaparkan dalam media cetak sehingga perlakuan remaja menjadi sebagai budaya lepak. Menurut Bowlby (dalam Shahizan, Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin, 2004), hubungan yang rapat di antara ibu bapa dan anak memudahkan perkembangan dalaman atau ‘internal working model’ iaitu struktur pemikiran tentang diri dan orang lain. Apabila hubungan yang erat terjalin, individu akan menganggap dirinya sebagai baik, bernilai, dikasihi serta menganggap orang lain boleh dipercayai dan bertanggungjawab seterusnya memperkukuhkan keyakinan personal dan interpersonal dalam menghadapi cabaran hidup berbanding dengan individu yang rasa kurang selamat dalam hubungan keibubapaan. Tugas ibu bapa dalam memantau perkembangan sahsiah dan tingkah laku anak-anak remaja akan memberi impak positif terhadap tingkah laku dan penampilan remaja dalam masyarakat serta hubungan yang erat di antara anak dan ibu bapa mereka. Rice dan Kobak (dalam Shahizan Hassan, Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin, 2004), berpendapat walaupun remaja dikatakan menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan-rakan berbanding ibu bapa, namun hubungan yang mesra di antara ibu bapa dengan anak dianggap penting dalam proses perkembangan remaja. Mereka memerlukan sokongan daripada ibu bapa supaya menjadi lebih berdikari dan cekal. Corak didikan ibu bapa adalah aspek utama yang memberi kesan mendalam terhadap perkembangan fizikal, mental dan sosial seseorang individu. Secara tidak langsung ia membentuk personaliti seseorang individu. Ini bermakna ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu melengkapkan diri dalam bidang keibubapaan untuk membentuk diri dan jiwa anakanak ke arah kebaikan. Tingkah laku ibu bapa akan dapat mempengaruhi jiwa anakanak. Robiah et.al (2001) berpendapat kepercayaan agama adalah tenaga paling unggul bagi menentang semua unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan prinsip dan pendirian yang kukuh berlandaskan ajaran agama dapat mencegah remaja daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur pergaulan bebas yang melampaui batasan. Sarina Othman (1995) mengatakan pendidikan agama yang disemai sejak zaman kanak-kanak dapat membentuk remaja yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa serta dapat menolak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran agama. Anak-anak remaja khasnya pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah akan mengakibatkan penurunan prestasi dalam pelajaran. Sememangnya secara logik dapat dilihat perkaitan yang ketara antara disiplin dengan pencapaian akademik. Sebagaimana kajian Othman (dalam Oskasmazila, 2000) yang dijalankan kepada 723 sampel dari sepuluh buah sekolah di daerah Johor Bahru. Dapatan beliau menunjukkan bahawa suasana keluarga murid-murid tidak mempunyai kesan langsung yang signifikan terhadap tingkah laku akademik mereka. Walaupun remaja sedang menuju ke arah berdikari, mereka memerlukan ibu bapa yang dapat memberi sokongan kepada mereka. Menurut Small (1990) menyatakan remaja inginkan ibu bapa yang menghormati mereka, memberi kasih sayang, mempunyai minat yang sama, mengakui dan menerima perkembangan kognitif dan sosioekonomi mereka. LEPAK DI KALANGAN REMAJA Menurut Idris (2000) telah membuat kajian tentang fenomena budaya lepak di kalangan pelajar remaja di bandaraya Johor Bahru. Fenomena budaya lepak disebabkan oleh faktor kerenggangan hubungan kekeluargaan, faktor persekitaran sebagai pemangkin dan kurang pendidikan agama. Daripada kajian ini didapati institusi kekeluargaan adalah permulaan untuk membendung segala masalah sosial dalam masyarakat dapat dibendung. Sememangnya terbukti hanya ibu bapa sajalah individu paling hampir yang dapat menangani masalah anak-anak mereka. Remaja lebih terpengaruh kepada media massa berbanding didikan ibu bapa atau pendidikan di sekolah. Dengan itu remaja lebih terpengaruh pada faktor luar. HUBUNGAN KEIBUBAPAAN DI KALANGAN REMAJA Keibubapaan yang merupakan corak asuhan dan peranan ibu bapa pasti berfungsi dalam menunjukkan arah, membimbing, mendidik dan menggerakkan individu yang berada dalam institusi tersebut. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak. Kewajipan ini mesti dilaksanakan dengan contoh dan amalan seharian. Solat berjemaah adalah cara yang terbaik mengumpulkan semua ahli keluarga. Perbincangan, teguran dan ajaran boleh dilakukan selepas solat. Hukum-hakam dan peraturan agama mengenai hidup perlu diajar kepada anak sebelum mereka mencapai baligh, khususnya perkara-perkara yang seksualiti. Menurut Kaplan (1975) budaya lepak adalah berkaitan dengan psikopatologi iaitu mengalami masalah personaliti, gangguan mental, gangguan emosi, selalu anxieti atau depresi. Didapati juga kebanyakan golongan remaja yang terlibat dalam budaya lepak mempunyai masalah keluarga, sukar membina hubungan rapat dengan ahli keluarga dan sebagainya. PELAJAR REMAJA Masa remaja merupakan satu penggal dalam kehidupan manusia yang batasan usia mahupun peranannya sering kali tidak terlalu jelas. Segala gerak laku yang dahulu dianggap sebagai tanda awal keremajaan ternyata tidak lagi bernilai sebagai batasan untuk dikategorikan remaja sebab usia yang dahulu terjadi pada akhir usia belasan 15 hingga 18, kini terjadi pada awal belasan bahkan sebelum usia sebelas tahun. Teori remaja secara tradisional telah menekankan kepentingan keluarga dalam proses perundingan dimana remaja melalui pelbagai transisi pada fasa tersebut, termasuk pembentukan identiti seksual sepertimana yang diperkatakan oleh Freud (1958) dan juga naluri kendiri mengikut Erickson (1968) serta dalam pembentukan peluangpeluang kehidupan masa depan dan juga dalam pembentukan nilai hidup. Kesimpulan Aktiviti melepak bukanlah perkara baru, ianya sudah lama wujud di Malaysia. Ibu bapa sewajarnya turut memberi perhatian kepada corak asuhan dan peranan ibu bapa yang dilakukan di rumah kerana ianya memberi kesan yang tersendiri kepada keterlibatan aktiviti lepak di kalangan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu agama yang cukup.

No comments:

Post a Comment