Saturday 31 March 2012

BENCANA JEREBU:KESAN PEMBAKARAN TERBUKA

Pendahuluan Fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka bagi tujuan pembersihan tanah pertanian di sekitar Riau, Sumatera Utara dan Kalimantan, Indonesia. Fenomena tersebut kian mengancam tahap kualiti udara negara sehingga ke paras berbahaya sekaligus menyulitkan jarak penglihatan. Akibat bencana jerebu ini, kerajaan telah mengisytiharkan darurat jerebu bermula 11 Ogos 2005 sehingga ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian berkuat kuasa serta merta di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 531 dan 529. Pengisytiharan darurat jerebu ini merupakan kali kedua selepas Sarawak pada 19 September 1997 dengan IPU 650. Apakah jerebu? Jerebu merupakan satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel kecil atau jirim yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Selain itu, jerebu juga disebabkan faktor luaran akibat pembakaran hutan untuk aktiviti pertanian terutama di Indonesia. Oleh itu, dengan percampuran faktor tempatan (seperti asap dari sektor perindustrian dan kenderaan) dan faktor luaran, maka keadaan menjadi kritikal. Apabila partikel tersebut wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ia akan menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi dan seterusnya mengurangkan jarak penglihatan. Oleh itu, setiap pemandu dinasihatkan supaya : Menyalakan lampu kecil kenderaan apabila tahap penglihatan berada di bawah paras normal. Tidak menyalakan lampu tinggi kerana kabut akan membalikkan cahaya tersebut dan mengurangkan tahap penglihatan termasuk terhadap pemandu lain. Mengurangkan kelajuan agar sempat memberhentikan kenderaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Mengekalkan jarak pemanduan yang selamat sebagai langkah berhati-hati terhadap sebarang kejadian dan tindak balas akibat suasana jerebu. Tidak berhenti atau meletak kenderaan di pinggir jalan kerana penglihatan yang kurang jelas boleh menyebabkan kemalangan. Berhati-hati semasa membelok dan memintas serta memastikan keadaan benar-benar selamat sekiranya ingin berbuat demikian. Mengalihkan segera kenderaan yang rosak ke bahu jalan serta menundanya secepat mungkin. Warga emas yang mempunyai masalah penglihatan dinasihatkan agar tidak memandu dalam keadaan jerebu. Sentiasa peka dengan maklumat dan pengumuman berhubung lalu lintas di radio mahupun papan tanda elektronik. Penunggang motosikal perlu berpakaian warna terang dan topi keledar daripada material lut sinar serta memakai topeng penapis. Tidak menggunakan signal kecemasan apabila memandu dalam keadaan berjerebu kerana ianya boleh mengelirukan pemandu lain. Kesan jerebu pada kesihatan Partikel yang mempunyai bahan kimia iaitu penyebab jerebu boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Kesannya, pelbagai penyakit wujud terutama yang melibatkan penyakit salur pernafasan seperti asma dan konjunktivitis serta mengancam golongan yang berisiko dan mereka yang mengalami alahan kepada udara yang tidak sihat. Oleh sebab jerebu berbahaya kepada kesihatan manusia, maka nasihat dan perlindungan daripada bahaya jerebu amat penting diikuti oleh masyarakat. Kandungan jerebu dan kesannya amat signifikan kepada masyarakat dalam jangkamasa pendek dan panjang bagi kehidupan yang sihat. Jerebu memberi kesan terhadap kesihatan seseorang terutama kepada golongan tertentu yang berisiko tinggi iaitu : Kanak-kanak. Orang tua. Perokok. Mereka yang sentiasa bekerja di luar rumah. Golongan berpenyakit seperti : Asma. Bronkitis. Radang paru-paru. Penyakit paru-paru yang kronik. Penyakit jantung. Alahan. Kesan-kesan yang akan di alami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah : Gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk. Sukar bernafas atau sesak nafas. Mata pedih dan berair. Hidung berair dan kerap bersin. Kulit badan terasa gatal-gatal. Sakit-sakit dada. Justeru, langkah pencegahan perlu di ambil apabila terdapat tanda-tanda tersebut bagi mengelak diserang penyakit yang boleh membawa maut. Di antara langkah-langkah pencegahan tersebut ialah : Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk. Mereka yang berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan. Penutup hidung hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan kumpulan berisiko tinggi Tidak merokok di dalam rumah terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit. Orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah. Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih. Gunakan alat penghawa dingin dalam kenderaan ketika sedang memandu. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak. Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat (iaitu IPU yang melebihi 100). Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka. Penutup Bencana jerebu yang kerap melanda negara ketika musim panas kering mengakibatkan beberapa sektor tertentu seperti pengangkutan udara, darat dan air, pembinaan, pelancongan, perhutanan dan pertanian terjejas teruk. Kesan jerebu terhadap kesihatan orang ramai juga semakin buruk apabila jumlah pesakit yang mengalami gangguan kesihatan semakin meningkat. Justeru, setiap individu perlu sentiasa berwaspada dengan tahap kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan doktor sekiranya perlu. ~Farrah Fazira

No comments:

Post a Comment